Hamid patut desak SPRM siasat ‘katak politik’ sejak zaman PH, kata pemimpin Umno

Ketua polis negara yang bakal bersara, Abdul Hamid Bador sepatutnya mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin politik yang melompat parti semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lagi.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata, ketika PH memerintah ramai wakil rakyat, khususnya daripada Barisan Nasional (BN) menyertai parti kerajaan, bagaimanapun tiada pendakwaan dibuat terhadap mereka.

“Beratus-ratus akaun (bank) dibekukan dan ramai yang didakwa serta diugut supaya membayar sejumlah wang yang kononnya ada kaitan dengan skandal 1MDB.

“Apa jadi dengan Ahli Parlimen yang melompat dan mendapat dana yang sama (daripada 1MDB)? Mereka dibiarkan sahaja tanpa siasatan,” katanya kepada FMT, merujuk kepada wakil rakyat BN yang menyertai Bersatu yang pada ketika itu membentuk kerajaan bersama-sama PKR, Amanah, DAP dan Warisan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).



Razlan berkata, pendedahan yang dibuat oleh Hamid beberapa hari sebelum kontrak perkhidmatan beliau sebagai ketua polis negara tamat tidak boleh dianggap remeh dan tindakan perlu diambil.

Razlan turut menggesa SPRM memanggil Hamid bagi menyiasat pendedahan yang dibuat beliau.

“Siasatan SPRM kali ini perlu ada penglibatan badan bebas. Siasat semua Ahli Parlimen yang melompat dan diberi ‘hadiah’ jawatan.

“Siasat juga Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang sedang dalam siasatan SPRM, namun kes itu kini ‘senyap’ seolah-olah tidak ada apa-apa dilakukan. SPRM perlu telus dan lebih berani,” katanya.



Dalam pada itu katanya, Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai sebagai ketua polis negara yang baharu tidak perlu tunduk pada desakan mana-mana pihak dan harus memastikan pasukan polis bebas daripada kawalan mana-mana pihak.

“Penjawat awam perlu kembali kepada asas tanggungjawab mereka, bukan bekerja untuk ahli politik untuk membalas dendam.

“Negara dihancurkan semasa zaman PH dengan politik balas dendam dilakukan secara terbuka, malah ia tidak dibetulkan pada zaman Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Hamid, yang bakal bersara hari ini, sebelum ini mahu SPRM menyiasat ahli politik yang melompat parti dengan mendakwa amalan rasuah berada “di mana-mana”.



“(Pemimpin) mabuk kuasa dan sedia membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya pada sidang media Jumaat lepas, selain mendakwa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai pasukan itu yang bermasalah. FMT

KPN hentam campur tangan Menteri KDN pada sidang media terakhir



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker