Majikan pukul, ugut tembak pemandu peribadi ditahan polis


Kejadian pada kira-kira 1.22 pagi semalam itu bermula dengan pertengkaran antara suspek dan pemandu peribadinya itu selepas mereka pulang dari Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang majikan kerana disyaki menendang bahu dan mengugut untuk menembak pekerjanya dalam kejadian di sebuah rumah di Country Height, Kajang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan pada pukul 4.50 petang semalam dan direman dua hari hingga esok.

Beliau berkata, kejadian pada kira-kira 1.22 pagi itu bermula dengan pertengkaran antara suspek dan pemandu peribadinya itu selepas mereka pulang dari Kuala Lumpur.

“Semasa pertengkaran, suspek mengugut untuk menembak pekerja berusia 28 tahun itu sekiranya lelaki berkenaan keluar dari rumahnya, selain mengeluarkan kata-kata kesat dan menendang pemandunya itu di bahagian bahu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek turut merosakkan motosikal milik pekerjanya sehingga menyebabkan lelaki itu terpaksa meminta bantuan orang ramai untuk melarikan diri.

Lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis pada kira-kira 9.15 pagi pada hari kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa, menurut Mohd Zaid. Bernama

Polis tahan 4 individu kes pukul ‘bodyguard’ kerana puasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker