Polis tahan 4 individu kes pukul ‘bodyguard’ kerana puasa

Polis Klang Selatan menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang telah dipukul secara bergilir, kerana berpuasa.

Dalam kenyataan hari ini Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang tadi di Balai Polis Klang, berkaitan kejadian dua lelaki tersebut yang dipukul secara bergilir di bahagian belakang badan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa,” katanya.

Sebab puasa, bodyguard kena pukul, ugut bunuh oleh majikan

Shamsul Amar berkata, majikan lelaki tersebut juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang hari ini.

“Polis Daerah Klang Selatan ingin menegaskan bahawa, kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu, agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sehingga menjejaskan keharmonian kaum dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker