Rakyat semakin jelak dan resah
Oleh Borhan Abu Samah
“Dua hari yang lalu hujan rahmat turun dengan lebat. Syukur dapat menyumbang sedikit khidmat dan tenaga untuk bersama petugas Masjidilharam tatkala hujan lebat yang turun selepas Zohor sehingga selesai Asar.”
Itu sahaja yang dimuatnaik di Facebook Datuk Seri Azmin Ali. Kemungkinan besar beliau sedang menunaikan umrah.
Namun beliau dikecam dan ditroll atau disindir dengan pelbagai hal, sedang beliau bukan sahaja menunaikan umrah di bulan Ramadan, bahkan membuat kebaikan mencuci Masjidilharam.
Itulah harga yang harus beliau bayar oleh menteri kabinet dan bekas menteri besar Selangor itu.
Memang jelas ia dilakukan oleh musuh politik beliau, dan dipanjangkan oleh netizen apatah lagi dek kerana perbuatan beliau melompat dari parti PKR itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan hilang kuasa melalui Langkah Sheraton kira-kira setahun lalu.
Rakyat juga resah dengan situasi ekonomi negara pada masa ini kerana banyak syarikat gulung tikar dan penganggur kini mencecah lebih dua juta orang.
Kegagalan beliau selaku Menteri Ekonomi membawa masuk pelabur asing menyebabkan banyak pihak mula mempersoalkan kemampuan beliau.
Alasan pandemik tidak boleh diterima kerana pelabur ada di negara ini mulai berpindah ke negara jiran.
Sedangkan Malaysia sebelum ini negara yang paling popular dan digemari pelabur di rantau ini selepas Singapura.
Dasar kewangan negara juga semakin membimbangkan apabila kerajaan mengumumkan darurat dan sewenang-wenang menjarah khazanah simpanan negara untuk masa hadapan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri sepatutnya melakukan rombakan kabinet kerana barisan yang ada tidak berkesan.
Menteri Perpaduan tidak berfungsi menyatu-padukan rakyat, bahkan sebelum ini ada timbalan menteri bercuti berbulan ke luar negara.
Menteri yang sepatutnya menjaga kelestarian tenaga dan teknologi hijau juga tidak memahami portfolio beliau.
Paling mengejutkan apabila kementerian berkenaan menghentikan penganugerahan ladang solar dengan alasan ia mengganggu bekalan elektrik kebangsaan.
Tanpa memikirkan syarikat solar yang terpaksa gulung tikar dek kerana keputusan yang dibuat tanpa mendapatkan pandangan pemain industri.
Penutupan dan pembuangan pekerja hanya akan menambah jumlah orang yang menganggur.
Bagaimanapun Muhyiddin tidak dapat berbuat apa-apa kerana jemaah menteri dibentuk bukan kerana merit, tetapi lebih kepada mendapatkan sokongan politik.
Dengan majoriti sokongan dua ahli parlimen kerajaan Muhyiddin boleh tumbang dalam sekelip mata jika mana-mana ahli parlimen menarik balik sokongan.
Begitulah situasi politik dan pentadbiran negara yang ada hari ini dan ia pastinya tidak digemari oleh pelabur asing dan meresahkan rakyat.
Jadi apa yang wajar dilakukan oleh Muhyiddin apabila tamat darurat pada Ogos ini adalah mengadakan pilihan raya supaya kerajaan yang absah dipilih dan bukannya kerajaan yang bukan kerajaan yang ada hari ini.
Muhyiddin perlu insaf dan tidak terus menjerumuskan negara dan menggadai masa hadapan rakyat demi kekuasaan.
Jadi para menteri kabinet juga perlu insaf rakyat sudah jelak dengan karenah mereka.
Kerajaan Abah, Pak Long, Pak Lang dan Makcik Kiah tidak lagi boleh dijadikan gula-gula keprihatinan.
Apa yang dimahukan adalah kerajaan yang absah yang memperolehi mandat melalui pilihan raya. Bukan kerajaan ibarat hantu bukan hantu, manusia bukan manusia. SM
Azmin ke Saudi cari pelaburan atau cari publisiti sapu lantai masjid?
You must be logged in to post a comment.