Ditinggal nenek dalam kereta, kanak-kanak tiga tahun maut kerana strok haba


JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) berhubung kematian kanak-kanak tersebut pada 6.41 petang.

Hasil siasatan mendapati pada hari sama, nenek mangsa yang berusia 59 tahun membawa mangsa bersama kakak mangsa ke sekolah di sekitar Sungai Tiram lebih kurang 1 tengah hari dengan menaiki Perodua Alza.

Sohaimi berkata, mangsa kemudian ditinggalkan di dalam kereta yang dimatikan enjin di rumahnya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram tanpa disedari oleh neneknya.



Ibu mangsa yang menyedari mangsa tiada di dalam rumah kira-kira 6 petang mencarinya di sekitar kawasan rumah, tambah beliau.

“Nenek mangsa kemudiannya menyedari mangsa berada di dalam kereta dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri di lantai tempat duduk belakang,” kata Sohaimi dalam kenyataan.

Kata beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSI pada Isnin mendapati tiada sebarang kesan lebam atau luka akibat didera, dan doktor mengesahkan mangsa mati disebabkan strok haba.

Kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya. FMT



Kanak-kanak maut ditinggalkan dalam kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker