Bagaimana peniaga burger mampu bayar kompaun RM50,000 ? – Tok Mat


KUALA LUMPUR – Janganlah jadikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKKB (Bersyarat) dan pelbagai lagi bentuk prosedur operasi standard (SOP) beban dan kesusahan kepada rakyat yang benar-benar terhimpit pada waktu ini.

Sungguhpun pelaksanaan penguatkuasaan dibuat dengan tegas tetapi ia perlu adil dan bertimbang rasa, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

”Keadilan di tangan kanan, ihsan di tangan kiri. Tanpa ihsan, maka tiadalah pertimbangan untuk keadilan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas seorang peniaga di Kota Baharu telah diberikan kompaun sebanyak RM50,000 hanya kerana berniaga burger di hadapan rumahnya sendiri melebihi had masa yang ditetapkan.

Soal Mohamad, bagaimana peniaga itu mampu melunaskan jumlah kompaun sebesar itu kerana hanya berniaga burger.

Bagi golongan B40 seperti peniaga tersebut, tindakan tersebut pasti sangat membebankan.

Sepatutnya, kata beliau, sikap berdikari beliau, mencari rezeki walau dari hadapan rumah hingga larut malam, tanpa melanggar penjarakan sosial adalah contoh kerja keras dan daya usaha yang wajar diambil kira dalam melaksanakan penguatkuasaan.

Begitu juga dengan kes seorang pelajar di sebuah kolej di Perak dikompaun hanya kerana tidak menggunakan pelitup muka dengan kemas untuk membeli makanan.

Mereka hanya pelajar, tinggal di kawasan asrama dan mereka pasti tidak mempunyai kemampuan untuk membayar denda yang besar.

”Janganlah kita pula menambah kesusahan kepada mereka. Penguatkuasaan yang adil dan bertimbang rasa adalah sebaik-baik pengajaran dan teladan,” ujar beliau.

Tegurnya lagi, jangan pula dikuatkuasakan secara berpilih dengan orang atasan dan yang terkenal mendapat layanan berbeza sedangkan rakyat juga sudah lebih setahun menunggu pengakhiran wabak ini. MG

Kompaun peniaga burger : Jangan bayar, kita lawan – Peguam DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker