12 pegawai polis, SPRM jadi tali barut Nicky ditahan


JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan 12 lagi pegawai penguatkuasa pelbagai pangkat telah ditahan dalam Op Pelican 3.0 Geng Nicky baru-baru ini.

Mereka yang berumur dalam lingkungan 36 tahun hingga 49 tahun itu ditahan antara 21 April lalu sehingga hari ini.

Difahamkan kesemua mereka menjadi tali barut untuk melindungi kegiatan haram Geng Nicky yang terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan Macau Scam.

”Mereka terdiri daripada 10 pegawai polis manakala bakinya kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

”Pegawai polis itu terdiri daripada seorang Superintendan, dua Deputi Superintendan, Asisten Superintendan (3) dan Inspektor (4) yang masing-masing bertugas di Bukit Aman, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Manakala dua pegawai SPRM itu pula bertugas di Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ayob berkata, kesemua penguatkuasa yang ditahan itu telah direman selama 28 hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan Hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan BAB VI-B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

“Polis Johor akan terus menjalankan siasatan berikutan penahanan terbaharu ini dan kalau kita ada lagi nama baharu lagi, kita akan jalankan operasi sususlan.

“Jumlah keseluruhan untuk hari ini 12 sebelum ini 52, jadi kesemua 64 orang telah kita tangkap,” ujarnya.

Terdahulu, Polis Johor membongkarkan kegiatan jenayah terancang Geng Nicky dan menahan seramai 68 individu dalam 70 serbuan selama lapan hari sejak 20 Mac lalu menerusi Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang.

Selain tangkapan, polis merampas wang tunai RM773,145.78 dan lapan kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce dengan nilai keseluruhan RM6.67 juta.

Dalam operasi itu, ketua kumpulan itu, Nicky Liow Soon Hee, 33, yang juga Pengasas Winner Dynasty Group sempat melarikan diri dengan membawa bersama bekalan lapan beg berisi wang tunai.

Polis turut mendedahkan, seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa dipercayai bersekongkol dengan Geng Nicky termasuk membocorkan maklumat sehingga lelaki itu dapat meloloskan diri.

Geng itu dipercayai menawarkan wanita, kenderaan dan wang secara bulanan atau one-off kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan haram tersebut.

Pada 9 April lalu, 14 individu termasuk empat warga China didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah ini. MG

“Saya bukan cakap kosong hendak tangkap polis terlibat Datuk Seri Nicky”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker