Nelayan serik ke laut, tidak mahu lagi candat sotong

KOTA BHARU – Salah seorang daripada dua mangsa yang selamat dalam kejadian bot fiber yang dinaiki mereka karam di perairan Kuala Besar di sini serik untuk turun ke laut lagi selepas ini.

Mat Harun Mohd. Nor, 55, berkata, dia tidak boleh melupakan tragedi yang menimpanya dan dua rakan, Mat Awang@Jali, 54, dan Zulshahmin Danial Zulazman, 26, ketika mereka turun ke laut untuk mencandat sotong kelmarin.

Menceritakan detik cemas itu, menurutnya, kejadian itu berlaku terlalu pantas selepas mereka bertiga berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib di atas bot.

Katanya, sebelum bot karam, bot yang dinaiki mereka dimasuki air laut yang banyak sebelum Zulshahmin cuba membuang air dengan menggunakan baldi.

“Bot kami semakin tenggelam dan Zulshahmin bertindak terjun ke dalam laut dan diikuti saya dan Mat. Ketika itu, saya sudah tidak nampak Zulshahmin kerana hari sudah gelap dan cuba memanggil namanya, namun tiada sahutan.

“Saya dengan Mat sempat berpaut pada kotak fiber. Ketika itu,saya hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa kami berdua,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, tiga nelayan itu dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka ketika turun ke laut untuk mencandat sotong terbalik pada jarak 19 kilometer dari Kuala Besar di sini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 8.30 malam kelmarin ketika ribut dan hujan lebat.

Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat Zulshahmin masih sedang giat dijalankan.

Bercerita lanjut, menurut Mat Harun, dia dan Mat tidak menyangka mampu berpaut pada kotak fiber itu selama 19 jam meskipun sudah tidak bermaya di tengah lautan.

Katanya, kepenatan itu hilang apabila melihat sebuah bot pancing yang dinaiki seorang lelaki di kawasan Pantai Sabak yang datang memberikan pertolongan kepada mereka. – K! ONLINE

[VIDEO] Nelayan Naikkan Kerapu Kertang100 kg Dalam Masa 45 minit..Na Na Na Ganu Kite…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker