JDT akhirnya `menangis’, rekod tanpa kalah lebur dilibas ‘Penyu’

PEMAIN JDT, Corbin Ong (kanan) diasak pemain lawan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PEMAIN JDT, Corbin Ong (kanan) diasak pemain lawan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan

 

Iskandar Puteri: Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Gol tunggal yang dihasilkan Mohamad Hakimi Abdullah pada babak kedua sudah memadai buat skuad Penyu melonjak ke tangga kedua liga selepas mengumpul 21 mata dan hanya ketingggalan dua mata dengan JDT yang masih berada di tangga teratas liga.

Apapun, corak permainan skuad kendalian Benjamin Mora bagaikan tidak menjadi pada perlawanan itu selepas pada babak pertama kehilangan dua tonggak utama, S Kunanlan yang dikeluarkan pada minit ke-17 disusuli Mauricio Nascimento pada minit ke-32.

Situasi itu memaksa Mora melakukan rombakan dengan mempertaruhkan Matthew Davies dan Syamer Kutty Abba bagi mengimbangi kekuatan skuad kendalian Nafuzi Zain yang beraksi konsisten dalam perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah mengundang cemas di benteng pelawat pada minit ke-22, selepas bola sepakan sudut Leandro Velazquez di sambar Bergson Da Silva yang merembat bola deras namun sekadar melepasi palang gol.

Anak didik Nafuzi turut mengundang cemas buat tuan rumah pada minit ke-29 selepas larian pantas Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar hampir mencipta jaringan buat TFC namun penjaga gol, Farizal Marlias berjaya menampan bola bagi mengelak gawang di bolosi.

Ketika aksi memasuki minit kecederaan sebelum berakhir babak pertama, kelicikan David Da Silva yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti selepas menerima bola umpanan Makan Konate hampir mencipta gol apabila berjaya menewaskan Farizal namun bola tolakannya terkena tiang kiri tuan rumah.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bertali arus mengasak ke kubu pelawat namun beberapa percubaan berbahaya Gonzalo Cabrera dan Bergson masih belum mampu menewaskan Mohd Suhaimi yang kebal menjaga gawang.

Namun serang balas pelawat pada minit ke-56 membuahkan hasil selepas berlaku kesilapan di antara Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty yang membolehkan Mohamad Hakimi merampas bola sebelum bertindak merembat bola menewaskan Farizal.

Harimau Selatan yang berada dalam tekanan memaksa Mora memasukkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Nazmi Faiz Mansor dalam usaha memburu gol penyamaan namun keputtusan 1-0 yang memihak TFC kekal sehingga tamat perlawanan.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker