Bukan sahaja kereta, rumah banyak kasut juga akan dilawati polis ketika Aidilfitri
SELEPAS diberi amaran rumah yang mempunyai banyak kereta mungkin akan diperiksa anggota polis ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, hari ini polis menambah rumah dengan kasut atau selipar juga tidak terlepas.
Tindakan itu diambil kerana kemungkinan tetamu yang telah merentas negeri tanpa kebenaran meletakkan kenderaan mereka jauh dari rumah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri ini bagi mengesan mereka yang mungkin terlepas sekatan jalan raya.
“Polis Kedah mendapat arahan untuk melakukan rondaan, kita tengok rumah yang ada banyak kereta, kita akan semak.
“Bukan sekadar kereta, kita tengok selipar, kasut di rumah itu banyak, juga kita akan periksa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Baharu 4WD (1tan) GS-Cargo Guna Sama Operasi untuk Kontinjen Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.
Majlis penyerahan kenderaan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar sebelum ini menegaskan polis akan mengekalkan strategi sama seperti yang dibuat semasa Aidilfitri lalu iaitu dengan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah bagi memeriksa kebenaran surat rentas negeri.
Mengulas lanjut, kata Hasanuddin, pihaknya turut mengarahkan semua anggota di sekatan jalan raya (SJR) melakukan pemeriksaan lebih ketat terutama dalam mengesan mereka yang cuba meloloskan diri untuk rentas negeri, selain menggunakan permit palsu.
“Periksa surat dengan terperinci. Saya sudah keluarkan arahan kepada semua anggota di SJR dan pasukan pemantauan supaya lebih tegas dalam melakukan pemeriksaan itu.
“Jadi, saya menyeru agar semua pihak jangan sesekali bawa dokumen palsu kerana mereka akan dikenakan denda yang tinggi,” ujarnya. Utv
You must be logged in to post a comment.