SMK Convent Bukit Nanas pajakan 60 tahun hanya tujuan pendidikan sahaja



Sebaran :

Kerajaan hari ini bersetuju melanjutkan tempoh pajakan tanah yang menempatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas untuk 60 tahun lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan menimbang permohonan lembaga pengelola sekolah terbabit.

Setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899, kerajaan bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan bagi sekolah yang terletak di Seksyen 49, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun,” kata kenyataan tersebut.



Kata PMO kebenaran berkenaan hanya diberikan untuk tujuan pendidikan saja.

Terdahulu beberapa pihak menyatakan rasa bimbang mereka terhadap keberadaan sekolah berusia 120 tahun itu apabila kerajaan enggan menyambung tempoh pajakan yang berakhir pada 6 Sept ini.

Semalam media melaporkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya menjelaskan cadangan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tersebut ialah bagi membantu memulihara serta membiayai sekolah berkenaan setelah pajakan berakhir.



“Sekolah itu akan mendapat banyak manfaat jika dijadikan institusi yang mendapat bantuan penuh oleh kerajaan,” kata Yasir seperti dilaporkan The Star.

SMK Convent Bukit Nanas ditubuhkan pada 1899 dan berpindah ke tapaknya sekarang pada 1909.

Hentikan layanan diskriminasi



Antara tokoh terkemuka yang pernah belajar di situ ialah bekas menteri kanan dan Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz, Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus,dan peguam Ambiga Sreenevasan.

Walaupun mendapat jaminan pejabat tanah, petisyen dalam talian dilancarkan untuk mendapatkan sokongan bagi mengekalkan sekolah berkenaan.

Menurut kenyataan PMO lagi Ketua Setiausaha Negara bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, Lady Superior of the Society of Saint Maur yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas.



“Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.

“Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam komen segeranya Rafidah berkata dia menyambut baik persetujuan diberi kerajaan namun ia sepatutnya tidak terhenti di situ saja.



Kata Rafidah lebih baik untuk kerajaan memberikan status pegangan bebas kepada sekolah berkenaan, selain menjadikan ia sebagai bangunan warisan negara.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, langkah itu akan memanfaatkan generasi masa depan.

“Sediakan segala sokongan kepada SMK Convent Bukit Nanas sebagai sebuah institusi pendidikan serta jadikan ia bantuan penuh kerajaan.



“Kita patut hentikan layanan diskriminasi sesebuah sekolah berdasarkan kepada ‘jenis’ sekolah berkenaan,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply