Kerajaan Perlu Percepatkan Suntikan Vaksin Kepada Rakyat – Zahid


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau berkenaan pendekatan kerajaan yang disifatkan lambat dalam memberikan suntikan vaksin kepada rakyat.

Katanya, ini kerana di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ketika ini hanya merekodkan 451,237 sahaja individu yang sudah melengkapkan dua dos.

“Dua bulan sudah berlalu, proses pemberian vaksin bergerak perlahan. Kelewatan pemberian vaksin ini sememangnya tidak boleh diterima. Ia perlu dipercepatkan.

“Proses vaksinasi di Malaysia lambat berbanding negara lain. Ia amat dikesali. Saya berharap kerajaan bertindak pantas berhubung kesihatan rakyat. Jangan hanya tindakan pantas pada perkembangan politik sahaja, contohnya J-Kom,” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.



Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, sebelum ini rakyat dikhabarkan berita gembira yang kononnya kehidupan akan kembali normal selepas ketibaan vaksin ke negara ini.

“Seingat saya pada Februari yang lalu seluruh rakyat di negara ini gembira kerana vaksin COVID-19 akhirnya tiba di Malaysia. Dengan bangganya vaksin itu dibawa menaiki kapal terbang serta lori. Seluruh agensi media membuat laporan berkaitan ketibaan itu.

“Ada dalam kalangan rakyat berkata, baguslah dah tiba. Tamatlah riwayat COVID-19. Besar harapan rakyat suntikan dapat disegerakan. Perintah Kawalan Pergerakan tak perlu dilaksanakan lagi, tiada lagi laporan ribuan kes sehari,” ulas beliau.

Malah kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, ada segelintir rakyat yang sanggup membayar wang sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin.



“Jika menunggu tindakan kerajaan mungkin berabad lamanya. Apa-apa pun saya doakan semoga perjalanan vaksinasi ini dipermudahkan dan rakyat beroleh kesihatan yang baik.

“Ada ura-ura mengatakan terdapat pihak lain cuba membawa masuk bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tetapi usaha itu tergantung kerana dilengahkan kementerian berkaitan, contohnya syarikat swasta dan yayasan dari Selangor dan Sarawak,” katanya. – UMNO Online

Kenapa perlu ‘jarah’ dana amanah untuk vaksin, soal Najib



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker