Tular ramai melawat Siti Nurhaliza di hospital, Asyraf Khalid mohon maaf
Kuala Lumpur: Video dimuat naik anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid yang memaparkan Siti menerima kunjungan ramai tetamu di hospital selepas melahirkan anak kedua pada 19 April lalu tular sehingga didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Asyraf yang juga ahli perniagaan ketika dihubungi berkata, dia bersama individu lain sudah mendapat kebenaran pihak hospital selain patuh dengan SOP ditetapkan.
“Pada asasnya semua ikut SOP. Kami pakai pelitup muka dan sebagainya. Cuma, ketika ambil gambar pihak jurufoto dan jurukamera minta buka. Semua orang yang datang pada hari tu sudah mendapat kebenaran pihak hospital.
“Sebagai anak, apabila Mak Iti (Siti) nak bersalin, tentu saja gembira. Lagipun jarak hospital dengan rumah saya hanya lima minit saja,” katanya.
Menurut Asyraf, dia tidak membawa jurukamera dan jurugambar, sebaliknya disediakan pihak Siti Nurhaliza Productions (SNP) bagi tujuan rakaman,” katanya kepada Harian Metro.
Namun, Asyraf yang juga suami kepada penyanyi dan usahawan, Tya Ariffin memohon maaf sekiranya perkara itu mengundang pertikaian segelintir pihak.
“Mungkin ada juga salah saya di situ dan saya belajar dari kesilapan itu. Kalau ikut kebiasaan, jika dapat adik baharu mestilah nak kena pergi tengok. Tapi, dalam keadaan sekarang normal itu sudah berubah.
“Jadi, saya minta maaf jika perkara ini ada mengguris sesiapa termasuk netizen. Saya dengan keluarga okay. Harapnya perkara ini tak dibesarkan dan biarlah ia reda,” katanya.
Bagaimanapun, video berkenaan sudah dipadam di Instagram dan saluran YouTube Tya Ariffin Family.
Terdahulu, tular gambar dan video memaparkan Siti menerima kunjungan ramai termasuk jurugambar dan jurukamera selepas dia melahirkan anak di sebuah pusat perubatan di Selangor hingga mengundang kecaman netizen.
Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang berkahwin pada 21 Ogos 2006 dikurniakan anak pertama, Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018 dan kini sudah berusia tiga tahun.
You must be logged in to post a comment.