Ramadhan berbeza buat Amylea
Ramadhan tahun ini agak berbeza buat komposer dan penyanyi, Amylea Azizan. Bukan sahaja mengenakan tudung, malah cuba menjaga ibadah sebaik mungkin sepanjang bulan puasa.
Amylea berkata, inilah kali pertama memakai tudung sepenuhnya pada bulan Ramadan.
“Ramadan kali ini cukup berbeza hingga mendorong hati saya mengenakan hijab, sekali gus menghormati bulan mulia ini.
“Sebelum ini, saya ada juga memakai tudung pada Ramadan, tetapi hanya untuk acara tertentu sahaja. Berbeza kali ini, saya memakai tudung setiap hari apabila keluar ke tempat terbuka.
“Ini selepas saya melalui fasa getir dalam hidup dan kembali beroleh kekuatan, sejak setahun lalu. Saya lebih positif dan dekat dengan Allah. Dahulu solat tunggang terbalik dan selalu meninggalkannya.
“Namun, sekarang, Alhamdulillah, saya cuba menjaga dan melengkapkan solat lima waktu sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.
Mengulas apakah imej bertudung akan kekal, Amylea tidak mampu memberi jawapan pasti.
“Jujurnya, niat mengenakan hijab mahu menghormati bulan Ramadan. Ibaratnya jika masuk rumah orang, kita beri salam dan jaga tata tertib, begitu juga hal bertudung ini.
“Saya tak berani nak komen lebih kerana isu bertudung ini akan menarik perhatian netizen. Jika terjadi nampaknya ia juga ujian untuk netizen.
“Bagi mereka yang tidak mengenali saya mungkin akan pantas menghukum dan cakap bukan-bukan,” katanya.
Kata penyanyi yang popular menerusi lagu Tak Pernah Hilang bersama Kaer Azami, dia lebih selesa memperbetulkan diri saat ini.
Bagi saya, lebih baik memperbetulkan soal dalaman seperti menjaga solat, diri, pertuturan dan tingkah laku. Perkara paling akhir saya akan mempertimbangkan selepas semua sudah sempurna adalah bertudung.
“Saya mendekati mereka yang mempunyai pengaruh positif, selain bertudung. Ada antaranya nampak macam terlalu terbuka, tetapi tetap menjaga kewajipan sebagai orang Islam.
“Siapa kita nak hukum mereka. Menjadi kebiasaan manusia akan ada sikap sedemikian. Saya bertuah pakaian yang ada dalam almari boleh dikenakan dengan tudung. Jadi, tidak timbul alasan nak kena beli baju baharu nak disesuaikan dengan tudung,” katanya. BH