Filipina larang remaja bawah 18 tahun keluar rumah


MANILA – Manila akan memperluas larangan ke atas anak-anak meninggalkan kediaman masing-masing, termasuk remaja berumur bawah 18 tahun, selama dua minggu mulai hari esok dalam usaha menangani lonjakan jangkitan Covid-19.

Hanya mereka yang berumur 18-65 tahun akan dibenarkan keluar dari kediaman mereka, kata Lembaga Pembangunan Metro Manila dalam satu kenyataan.

Sejak akhir tahun lalu, Filipina mula mengurangkan sekatan pergerakan paling panjang dan paling ketat di dunia termasuk peraturan melarang remaja berusia bawah 15 tahun meninggalkan rumah.

Manila mengalami lonjakan kes Covid-19 bulan ini, merekodkan kenaikan harian terbesar sejak pertengahan Ogos, semalam dengan 5,404 jangkitan baharu.

Perintah berkurung telah dilaksanakan semula sejak hari Isnin untuk dua minggu di Metropolitan Manila, ‘tempat panas penularan koronavirus’ yang menempatkan lebih daripada 12 juta orang.

Menjawab kritikan program vaksinasi yang perlahan, Ketua Strategi Koronavirus, Carlito Galvez berkata, lebih banyak dos akan tiba tidak lama lagi.

Hampir 2.4 juta dos dijangka diterima awal bulan depan, termasuk 979,200 dos AstraZeneca melalui kemudahan COVAX dan 1.4 juta Sinovac termasuk 400,000 yang disumbangkan oleh China.

Galvez berkata, negara itu tidak ada rancangan untuk menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca untuk menyuntik pekerja kesihatan, walaupun beberapa negara Eropah telah menangguhkan penggunaannya susulan laporan kesan sampingan.

Kerajaan juga telah menandatangani perjanjian dengan Institut Serum India untuk 30 juta dos vaksin Novavax, yang akan tiba pada suku ketiga atau keempat tahun ini, kata Galvez. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker