Al-Fatihah: Pemilik Adam Char Kuetiau maut kemalangan

Pemilik kedai Adam Char Kuetiau Permatang Pauh maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM)133.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara berhampiran Seberang Jaya, di sini pada malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 malam itu, Zamri Juhari, 33, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 1000 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan jatuh ke atas jalan raya.




Menurutnya, sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 24 tahun tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan motosikal mangsa mengakibatkan dia juga tercedera.

“Daripada keterangan, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu memaklumkan bahawa ketika dia di lorong motosikal, dia melihat motosikal Zamri dalam keadaan terhuyung-hayang di hadapan motosikalnya sebelum terjatuh.

Motosikal mangsa rosak teruk selepas terlibat dengan kemalangan.
“Kejadian itu turut disedari seorang pemandu kereta berusia 52 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua selepas terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri kereta dipandunya, sebelum ternampak sebuah motosikal berkuasa tinggi terbabas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Shafee berkata, impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut, manakala penunggang Yamaha 15 yang bekerja sebagai pembantu juruteknik kilang luka di tangan dan kaki.



Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk proses bedah siasat, manakala penunggang Yamaha 15 turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker