Sekolah di Batu Pahat mohon maaf susulan kontroversi asing sukan ikut kaum

PETALING JAYA: Sebuah sekolah di Batu Pahat yang sebelum ini meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu telah tampil meminta maaf.

Dalam kenyataan, pihak SMK Dato’ Bentara Luar mengakui terlepas pandang akan isu perkauman dalam maklumat yang diedarkan kepada semua pelajar Tingkatan Satu berhubung pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum tersebut.

“Kami tidak berniat langsung untuk mencetuskan perkara tersebut. Pihak sekolah tetap menjunjung dan akur dalam melaksanakan semua dasar dan arahan daripada kerajaan.



“Sekali lagi kami mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku,” katanya.

Tambahnya, pihak sekolah akan menarik balik dan membatalkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian menggunakan Google Forms yang telah dimuat naik pada 15 April lalu bagi tujuan proses penambahbaikan.

“Pendaftaran semula akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan mengedarkan borang pendaftaran sukan dan permainan kepada semua murid.

“Murid boleh memilih sukan dan permainan yang mereka minati (namun masih tertakluk kepada bilangan penyertaan ahli kelab sukan dan permainan yang disusun atur oleh pihak sekolah supaya penglibatan murid dalam semua kelab sukan permainan seimbang dari segi bilangan, ras dan jantina),” katanya.



Semalam, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu.

Berdasarkan kandungan surat itu, seorang pelajar hanya dibenarkan memilih satu jenis sukan daripada 12 jenis sukan yang ditawarkan, malah syarat kaum diletakkan bagi sukan yang perlu dipilih pelajar ketika mendaftar dalam talian.

Misalnya, sukan bola sepak untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, bola keranjang untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja, manakala sukan sepak takraw bagi pelajar lelaki Melayu sahaja.

Tindakan sekolah itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan Radzi Jidin yang mengarahkan supaya tindakan diambil kerana ia bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di peringkat sekolah.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker