Jaga disiplin, SOP kalau nak balik beraya di kampung



Sebaran :

KALAU betullah kerajaan tidak membenarkan pergerakan rentas negeri pada Hari Raya Aidilfitri kali ini, bermakna sudah dua tahun umat Islam di negara ini terutama mereka yang berada di perantauan tidak dapat pulang meraikannya di kampung.

Pada tahun lalu peraturannya lagi ketat apabila solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri juga tidak dibenarkan kerana seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun ini pada peringkat awal harapan untuk pulang menyambut hari raya di kampung kelihatan cerah apabila kerajaan memberi jaminan jika kes kos harian di bawah1,000 maka kebenaran akan diberikan.



Tetapi apakan daya. Masyarakat kita tidak cukup berdisiplin untuk memastikan kes-kes baharu kekal rendah apabila masing-masing mudah lupa daratan apabila diberikan sedikit kebebasan. Tengok apa yang berlaku di bazar-bazar Ramadan. Orang kita seperti melepaskan geram apabila berbondong-bondong membanjiri bazar Ramadan hingga lupa kepada prosedur operasi standard (SOP)

Hasilnya belum habis minggu pertama Ramadan, Kes positif kembali melepasi angka 2,000. Bermakna mustahil untuk kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri. Yang bermakna mustahil untuk kita semua pulang menyambut hari raya di kampung.

Cukup mengerikan apabila membaca kenyataan Presiden Pertubuhan Dok­­tor-Doktor Islam Malaysia, (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail bahawa andai dibenar merentas rentas negeri kita diibaratkan sengaja menempah maut. Puncanya ialah rakyat kita langsung tidak ada disiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Majoriti pengunjung bazar Ramadan langsung tidak memperdulikan SOP ini.



Ini bukan soal menghalang umat Islam di negara ini daripada menyambut hari raya, tetapi larangan itu adalah untuk menjaga keselamatan kita semua. Tidak guna jika kita dibenarkan pulang beramai-ramai di kampung, tetapi selepas ini beramai-ramai pula ke pusat kuarantin.

Mulai hari ini mari kita semua jaga disiplin dan pastikan SOP dipatuhi tanpa mengira waktu dan di mana sahaja. Tidak perlu serbu bazar Ramadan sampai ketat dan sendat. Elakkan bersesak. Mungkin apabila kita pakat-pakat berdisiplin mematuhi SOP maka kes positif Covid-19 dapat diturunkan dan mungkin kita semua boleh balik berhari raya di kampung.

Seperti kata Dr. Ahmad Shukri, kita semua kena faham, ini bukan lagi soal sentimen hendak halang hari raya seperti kebiasaan kita meraikannya. Tetapi, ia merupakan keperluan untuk kemaslahatan bersama.



Sejak pilihan raya negeri di Sabah, kes tidak berhenti melonjak naik. Jadi kita semua kena banyak bersabarlah dan yang paling penting jaga disiplin dan patuhi SOP sepanjang masa dan di mana saja kita berada.

Hari raya pasti akan muncul lagi tahun depan, tapi nyawa kita tidak ada galang gantinya.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia




Sebaran :


Leave a Reply