“Aku bukan Muslim, tapi aku tak pernah lupa bayar zakat harta, fitrah” – Chandra
Mempercayai prinsip bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk kebaikan dan manfaat orang lain akan menambah rezeki si pemberi membuatkan Chandramogan Jasingo tidak pernah lokek untuk memberi sumbangan.
Rezeki yang diterimanya juga lazimnya dikongsi kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar agama, bangsa, keturunan atau kelas masyarakat.
Justeru, tidak hairanlah kenapa Chandramogan atau lebih mesra disapa Chandra turut menunaikan ‘tanggungjawab’ membayar zakat fitrah setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Berusia 40 tahun, dia yang juga penganut agama Hindu mula menyalurkan pembayaran fitrah melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah sejak 10 tahun lalu.
Tidak hanya melunaskan pembayaran fitrah, Chandra, juga tidak terlepas daripada mengeluarkan zakat harta benda setiap tahun.
Kata pengurus di sebuah syarikat insurans itu, kepayahan dan kesulitan hidup yang pernah dilaluinya suatu masa lalu menjadi titik permulaan padanya untuk memahami konsep serta nilai yang ada di sebalik pembayaran zakat fitrah.
Menurut Chandra, pengalaman silam benar-benar mengajarnya keperitan hidup dalam serba kekurangan.
“Hidup saya dulu bukanlah senang sebab itu saya sangat faham macam mana kehidupan sebagai orang susah.
“Saya juga dibesarkan di persekitaran budaya orang Melayu dan agama Islam, jadi agama Islam dan budaya orang Melayu bukan perkara asing dalam kehidupan kami sekeluarga,” ujar Chandra yang fasih berbahasa kebangsaan dalam perbualan dengan Astro AWANI pada Rabu.
Kesediaan Chandra secara sukarela membayar zakat fitrah dan harta juga selepas dia memahami bahawa bukan sahaja agama Islam, bahkan kepercayaan-kepercayaan lain juga sentiasa menuntut penganutnya berbuat baik sesama manusia.
Chandra yang masih bujang memberitahu dia pernah membaca buku mengenai sejarah agama Hindu, Islam serta Budha dan melalui bacaan itu, banyak hal mengenai setiap kepercayaan itu diketahuinya.
“Saya juga baca apa yang terkandung dalam hadis dan saya rasa kesemuanya menyuruh kita untuk membantu orang yang susah.
“Tidak rugi kalau kita berbuat baik atau tolong orang lain… percayalah Tuhan akan menambah rezeki kita dalam setiap sedekah, derma atau bantuan kita pada orang lain, yakinlah,” kata Chandra yang tidak henti-henti mengucapkan syukur kerana rezeki yang dipanjangkan kepadanya tidak pernah putus.
Berdasarkan bacaan dan pemahamannya juga, Chandra sentiasa meningatkan dirinya bahawa dalam setiap rezeki yang Tuhan berikan kepada setiap manusia, ada sebahagiannya milik orang lain.
“Kita kena ingat bahawa setiap rezeki yang kita perolehi itu bukan 100 peratus milik kita… di dalamnya ada bahagian hak orang lain.
“Jadi jangan takbur dengan harta-harta yang kita ada, itu semua Tuhan bagi pinjam pada kita sahaja dan Dia akan ambil (bila-bila masa) jika Dia mahu,” kata Chandra memberi takrifan pada maksud rezeki yang ditakdirkan pada setiap manusia.
Mengambil tanggungjawab membayar zakat fitrah dan harta juga, kata Chandra yang membesar di Kuala Ketil, Kedah adalah kerana berpegang pada nasihat ibunya yang tidak pernah putus berpesan agar sentiasa membantu orang lain yang dalam kesusahan apabila sudah berjaya.
“Dulu saya kerja kilang selama 10 tahun, bawa kereta Proton Saga model 1985, kadang-kadang kereta tersadai di tepi jalan sebab saya tak mampu nak isi minyak,” kata penggemar lagu-lagu ‘rock kapak’ Melayu era 90-an.
Usai melunaskan pembayaran fitrah pada hari kedua Ramadan, Chandra berkongsi resit pembayaran itu di akaun media sosialnya diringi kapsyen yang menyentuh hati sebilangan besar netizen.
“Syukur Alhamdulillah masih bernyawa menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang umat di muka bumi,” demikian nota yang mengiringi gambar yang dikongsi Chandra di akaun Facebooknya.
Kecenderungan Chandra juga sering berkongsi pelbagai potongan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis serta nasihat di akaun Facebooknya juga sering mendapat pujian warganet. Awani
Terlupa kadar zakat fitrah? Ini maklumat bayaran zakat fitrah seluruh negara
You must be logged in to post a comment.