Sabotaj kabotaj, kata Tok Mat berhubung kerugian projek dasar laut

Sebaran :


PETALING JAYA: Cara kerajaan menangani isu kabotaj mungkin menyebabkan negara menjadi bahan gurauan antarabangsa, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Katanya, jika kerajaan tidak berpandangan jauh, ia sepatutnya mendengar pendapat pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan yang menjejaskan perjanjian berbilion ringgit.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding negara lain untuk menggalakkan gergasi teknologi memasang kabel dasar laut.



“(Kita mempunyai) rangkaian jalan yang dihubung dengan baik, geografi kecil tetapi terletak di lokasi strategik, serta modal insan.

“Tetapi, kita nampaknya dengan mudah menghalau teknologi besar yang berpotensi ke negara dengan kelebihan yang lebih sedikit daripada kita. Kenapa?” soalnya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Malaysia Internet Exchange (MyIX) mengkritik dasar kabotaj negara kerana kabel baharu dasar laut yang menghubungkan AS ke Singapura dan Indonesia, diumumkan Facebook serta Google, adalah kerugian besar buat Malaysia. Laporan itu dikongsi bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook di media sosial.



Pengecualian kabotaj diluluskan kerajaan Pakatan Harapan yang membenarkan kapal berdaftar di negara lain melakukan kerja membaiki kabel dasar laut di perairan Malaysia. Bagaimanapun, ia dibatalkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada 15 Nov 2020.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata nampaknya ada banyak perdebatan mengenai pengecualian dasar kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut yang dibatalkan kerajaan sedia ada.

Katanya, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Rais Hussin, yang juga ahli PPBM, sudah menjelaskan kesulitan tidak diduga daripada agenda kerajaan itu.


“Kita tinggal di dunia tanpa sempadan dan persekitaran saling terhubung. Jika kita tiada tawaran teknologi tinggi kepada dunia, pilihan terbaik seterusnya ialah menarik syarikat berteknologi besar untuk menjadikan Malaysia hab serantau.”

Katanya, dasar bersifat perlindungan dan birokrasi yang berpunca daripada nepotisme serta kronisme sudah ketinggalan zaman.

“Kita perlu mencipta dan mendidik diri semula untuk bersaing di sempadan terbuka atau kita akan gagal sebagai sebuah negara.”

Malaysia, katanya, mungkin menjadi “gurauan antarabangsa” disebabkan cara kerajaan menangani hal ehwal dalam dan luar negaranya.

“Di tahap ini, rakyat dan negara akan menuju hala tuju gelap lebih cepat atau kemudian.” FMT

Kabel dasar laut Facebook: Strategi ‘selektif’ kerajaan punca Malaysia disisihkan – Anwar


Sebaran :

Leave a Reply