Audio tular: Polis akan panggil Ahmad Zahid, Anwar

Polis dijangka memanggil Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan kes berhubung rakaman audio yang tular didakwa mirip suara dua pemimpin itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Jelasnya, Presiden UMNO dan Presiden PKR itu perlu tampil membuat laporan polis, jika benar rakaman tersebut berbentuk fitnah.

“Apabila kertas siasatan dibuka, memang itulah tindakan yang akan diambil. Apabila tiba masanya, pegawai penyiasat akan memanggil (mereka).

“Kedua-dua pihak, sama ada Anwar atau Ahmad Zahid, sekiranya mereka merasakan teraniaya, mereka perlu tampil membuat aduan.

“Tetapi, sekiranya orang ramai rasa tertekan, cemas atau (ia) menimbulkan kegemparan (tampil buat laporan). Apabila menerima banyak laporan, pihak polis ada sebab untuk buka kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Mengulas mengenai siasatan terhadap audio itu, Abdul Hamid berkata, polis masih giat menganalisa ketulenan rakaman tersebut.

Jelasnya lagi, siasatan akan dijalankan secepat mungkin dan hasil analisa akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya ada hasil daripada analisa tersebut, akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk pihak itu mengklasifikasikan atas kesalahan undang-undang mana atau seksyen apa kes tersebut.

“Proses itu adalah biasa,” katanya.

Terdahulu, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman itu tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menerusi panggilan telefon.

Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut dengan keras menafikan ia suara mereka.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker