Allisya Tahir enggan tumpang populariti ibu
Penyanyi baharu, Allisya Tahir, 23, tidak pernah berenggang dengan ibunya yang juga pelakon, pelawak dan pengacara versatil, Sharifah Shahirah sejak kecil.
Bagaimanapun, anak pertama hasil perkongsian perkahwinan pertama Sharifah Shahirah dengan vokalis kumpulan legenda, Black Dog Bone, Jatt itu terpaksa lari ke Pulau Tioman untuk berdikari, tahun lalu.
“Saya mahu hidup berdikari. Sampai bila saya nak bergantung hidup dengan Mama. Sejak kecil sampai besar, saya sentiasa duduk bawah ketiak mama, tak berenggang.
“Adalah bergaduh manja, tetapi saya kuat menjawab juga. Saya tak mampu nak pindah rumah lain. Saya yakin akhirnya akan balik rumah mama juga.
“Saya nekad lari ke Pulau Tioman bekerja di sebuah pusat menyelam, Februari tahun lalu. Namun, malangnya, dunia diserang pandemik COVID-19 hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan. Saya tersadai beberapa bulan tidak boleh pulang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Allisya berkata, dia bernasib baik dapat tinggal bersama keluarga angkat.
“Ada hikmah di sebalik pandemik COVID-19. Ini kerana niat saya berdikari menjadi lebih mencabar dan bersemangat. Kemudiannya, saya buat kerja sambilan di sebuah pusat peranginan.
“Bagaimanapun, banyak kerja terhenti apabila tiba musim monsun. Saya memutuskan pulang ke Kuala Lumpur, awal tahun ini. Namun sepanjang di sana, mama sentiasa risaukan saya. Dia hantarkan barangan keperluan dan makanan termasuklah baju raya,” katanya.
Allisya berkata, dia bersemangat menurunkan berat badan sepanjang berada di Pulau Tioman.
“Saya kawal nafsu makan. Makan pun masakan dimasak sendiri. Waktu petang saya berjalan atau berenang. Berada di pulau sukar mahu mendapatkan menu pencuci mulut yang manis.
“Jadi, kekangan inilah memaksa saya tekad menurunkan berat badan. Mulanya, berat saya 80 kilogram (kg), kini sudah mencecah 52kg. Di Kuala Lumpur, saya dibantu ibu saudara, Sharifah Sakinah yang begitu menitik berat soal pemakanan dan senaman,” katanya.
Allisya menafikan, dia terdesak mahu kurus demi meneruskan survival seni.
“Saya tiada masalah dengan badan yang berisi. Jauh sekali nak buktikan bakat diterima jika memiliki pakej menarik termasuk berbadan ramping.
“Namun, saya mula terfikir soal kesihatan apabila usia menginjak. Ada masa tengok diri sendiri dalam cermin pun rasa geram dan tak suka,” katanya.
Kata Allisya, kisah lari ke pulau dan berjaya menurunkan berat badan secara tak langsung membakar semangat untuk serius dalam dunia seni.
“Selain menyanyi, saya nak cuba nasib dalam lakonan dan pengacaraan. Saya pun nak kena menonjolkan diri dalam media sosial. Selama ini, pengikut saya dalam Instagram (IG) kebanyakannya meminati mama.
“Saya kena melakukan penjenamaan sendiri, bukan menumpang populariti mama. Ramai anggap saya memiliki wajah ibu saudara dan bersuara seperti bapa,” katanya.
Tahun lalu, buat kali pertama Allisya tampil dengan single Hey Pria ciptaan Sharon Paul. Single itu diangkat sebagai lagu runut bunyi drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe disiarkan menerusi slot Akasia, TV3.
Selain Allisya, Sharifah Shahirah turut dikurniakan dengan empat cahaya mata, Airell, Airra, Audrra dan Adeena, hasil perkongsian hidup bersama pelakon, Ijoy Azhari. BH
[VIDEO] “Oii Sumbang!” – Sharifah Shahirah ‘Sabotajj’ Kerjaya Seni Anak Buat Ramai Terhibur