Episod pilu di HKL


Sebaik memasuki ruangan Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau melihat tiga mangsa terbaring di atas katil sorong selain suasana di situ cemas.

Matanya terarah kepada sekujur tubuh yang sebahagian perutnya terbuka dan mangsa mengerang kesakitan. Di sebelahnya, pemandangan lebih mengerikan.

Muka terbelah dan menampakkan tulang rahang hingga ke leher manakala seorang lagi sedang bergelut dengan maut dan cuba diselamatkan oleh doktor.

Itu visual ngeri yang menjadi petunjuk awal bekas wartawan Harian Metro (HM), Wan Sabariah Shikh Ali menulis berita Tragedi Letupan Kilang Mercun Bright Sparklers, Sungai Buloh, 30 tahun lalu.



Wan Sabariah berkata, pada petang 7 Mei 1991, beliau sedang mewawancara Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika itu, Datuk Dr Megat Burhanuddin Abdul Rahman di pejabatnya di tingkat satu bangunan utama HKL.

“Kira-kira jam 5.30 petang, beliau menerima panggilan telefon dan berkata kepada saya: ‘Wan Sab, mari ikut saya ke Jabatan Kecemasan, ada kes letupan besar, mangsa pertama baru tiba.’

“Gambaran di atas itu adalah petunjuk pertama. Beberapa ketika selepas itu, beberapa kes lagi tiba.

“Suasana di Jabatan Kecemasan HKL hiruk-pikuk, pegawai perubatan cuba menyelamatkan mereka dalam keadaan kritikal.



“Saya melihat seorang lelaki, seluruh tubuhnya menjadi kuning, tiada kecederaan fizikal pada beliau,” katanya.

Menurutnya, ketika itu tidak ada maklumat lengkap mengenai kejadian sebenar.

“Ada yang mengatakan letupan kilang peluru di Sungai Buloh, ada juga mengatakan kilang gelas.

“Apabila saya melangkah keluar dari ruang kecemasan, saya jadi pilu. Seorang wanita berusia 50-an meraung dan akhirnya memeluk saya bertanyakan keadaan suaminya di dalam.



“Itu adalah wawancara pertama dengan keluarga mangsa sambil saya cuba menenangkannya.

“Tiga ahli keluarganya terbabit – suami, anak lelaki dan menantu. Nasib mereka tidak diketahui. Apabila ditanya apakah yang berlaku, barulah saya tahu bahawa kilang mercun meletup,” katanya.

Beliau berkata, dari saat itu, wartawan meja berita Harian Metro tidak tidur malam sehinggalah kes terbabit selesai.

“Apa tidaknya akhbar kami keluar waktu petang. Sepanjang hari, semua syarikat media menumpukan perhatian kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung kejadian itu dan membuat liputan susulan keluarga mangsa.



“Malam adalah milik kami, kumpulan perintis di Harian Metro,” katanya.

Ketika melaporkan tragedi, beliau bersama teman wartawan, Razali Zakaria berkampung di bilik operasi polis di tapak kejadian setiap malam untuk mencari headline eksklusif keesokannya.

“Ketika itu, HM mendapat beberapa scoop yang menjadikan HM mula dicari. Tetapi sebagai wartawan, yang lebih memberi kepuasan adalah apabila natijah daripada tragedi itu, kerajaan mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan ia tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, cabaran ketika itu adalah menghantar bahan berita kerana tiada isyarat telefon di kawasan terbabit sehingga terpaksa memanjat bukit berhampiran untuk menghantar berita ke pejabat.



“Rakan di pejabat akan mengambil maklumat diberi sebelum dikarang semula dan saya bersama rakan lain bermalam di lokasi kejadian bagi mencari bahan berita,” katanya.

Menurutnya, sebelum ke lokasi kejadian, dia sempat membeli beberapa bungkus ayam KFC yang kemudian diserahkan kepada polis yang berkawal di kilang mercun itu.

“Pada mulanya kereta dipandu saya ditahan anggota polis dan mereka tanya saya hendak ke mana dan dari mana.

“Saya pun tidak memberitahu saya wartawan sebaliknya mengatakan kami dari Skuad Metro dan hantar makanan sebelum dibenarkan masuk,” katanya.



Menurutnya, ketika berjaya masuk, dia tidak tahu sebenarnya kawasan terbabit masih tidak selamat dan bahan membuat mercun masih ada serta bila-bila masa boleh meletup.

“Selepas mencari maklumat, saya terdengar walkie-talkie polis memberitahu kawasan itu masih tidak selamat dan boleh meletup.

“Bimbang terjadi apa-apa, saya terus keluar dari kilang itu,” katanya.

Kejadian berkenaan menyebabkan 26 maut manakala 83 mangsa cedera dan 200 rumah musnah. HM

Mesin meletup, operator kilang terselamat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker