Lebih mudah bagi MCA, MIC kekal dalam BN – penganalisis



Sebaran :

Lebih mudah bagi MCA dan MIC untuk kekal dalam BN berbanding bersama sekutu baru pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang, kata penganalisis politik Profesor Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, meskipun kedua-dua parti berasaskan kaum itu dilihat seolah-olah tidak memberikan manfaat di dalam BN, namun kewujudan mereka diperlukan dalam gabungan itu.

Katanya, MCA dan MIC juga perlu memikirkan mengenai kepentingan pengundi mereka.



“Ini amat sukar sekali. Tetapi bagi saya, BN itu lebih mudah untuk MCA dan MIC kekal (di dalamnya), kerana telah ada sejarah (kerjasama).

“Walaupun semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU), terdapat gembar-gembur (putus kerjasama), itu hanya ditujukan lebih kepada Bersatu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malam kelmarin, media melaporkan mesyuarat dewan tertinggi BN yang dijadualkan berlangsung dibatalkan apabila beberapa pemimpin parti komponen tidak akan hadir.



 

 

Sumber Umno memberitahumesyuarat itu dibatalkan kerana parti komponen BN mendakwa tidak menerima notis makluman mengenainya – sesuatu yang didakwa  “amat mengejutkan” dan “tidak masuk akal”.

Perkembangan itu menyusuli kenyataan tidak selari di kalangan pemimpin komponen BN pasca-PAU sejak dua minggu lalu, menimbulkan persoalan apakah berlaku bibit perpecahan dalam BN  yang dianggotai Umno, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Semalam, ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi memberi peringatan buat MCA dan MIC agar tidak gopoh mencari “rakan pergantungan baru”.



Azmi berkata pergeseran di dalam BN itu merupakan kesan daripada perbahasan PAU yang dilihat agak keras, terutama berhubung kerjasama antara Umno dan Bersatu.

Menerusi PAU, Umno memuktamadkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada Presiden Umno merangkap pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan garis masanya.

Ahmad Zahid berkata BN telah memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian, namun MCA berpegang kepada pendirian bahawa keputusan harus dibuat secara kolektif.



Presiden MIC, S Vigneswaran ketika mesyuarat agung tahunan parti itu beberapa hari lalu menyatakan MIC akan terus menyokong kerajaan PN sementara menunggu keputusan muktamad dibuat Dewan Tertinggi BN.

Dia bahkan turut menjemput Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas pada mesyuarat agung berkenaan.

Selepas PAU melabuhkan tirai, sebahagian pemimpin Umno dan parti komponen BN – terutama MIC – dilihat mengeluarkan kenyataan panas mengenai isu perebutan kerusi, calon perdana menteri, serta tentang gesaan agar Umno “belajar” menghormati rakan parti komponen.



Beri isyarat kepada Umno, Bersatu

Kata Azmi, pandangan sedemikian yang ketara sejak kebelakangan ini, boleh menjadi satu isyarat daripada parti komponen BN bahawa mereka juga boleh meninggalkan gabungan itu.

“Juga untuk memberikan isyarat kepada Bersatu, bahawa jikalau mereka meninggalkan BN, apakah isyarat yang akan dikeluarkan Bersatu? Iaitu sama ada akan menerima MIC atau pun MCA (dalam PN),” katanya.

 

Katanya, jika BN memerlukan MCA dan MIC bagi memberikan gambaran bahawa BN masih membawa aspirasi seperti dahulu, PN pula memerlukan kedua-dua parti itu untuk memberi persepsi bahawa PN merupakan gabungan yang kuat .

Mengulas mengenai MIC yang dilihat semakin lantang bersuara, pemerhati politik, B Anbumani berpandangan perkara itu tidak boleh ditafsirkan sebagai tanda parti itu menolak BN.

Sebaliknya, katanya, ia isyarat bahawa MIC tidak lagi mahu dianaktirikan oleh BN setelah bersama sejak berpuluh tahun lamanya.

Katanya, MIC tidak meninggalkan BN ketika Umno berdepan krisis dalaman selepas kekalahan dalam PRU-14.

Malah katanya, MIC pernah keluar daripada PN Ogos tahun lalu, kerana menuruti pendirian Umno yang tidak mahu menyertai PN.

 

MIC perlu juarai isu kaum India

 

Katanya, kini merupakan masa yang genting buat MIC bagi menjuarai isu dan masalah yang dihadapi kaum India di negara ini, jika mahu memastikan kelangsungan parti itu dapat dipertahankan.

“Tuntutan dan isu masyarakat India semakin lama, mereka nampak semakin tidak diberikan perhatian oleh BN.

“Sudah tiba masanya, untuk Vigneswaran berbicara secara terbuka dengan pengerusi BN, supaya isu yang terpendam dapat (diluahkan), bukan sahaja buat MIC, bahkan mewakili suara masyarakat India di negara ini,”

Katanya, beberapa perkara harus dibawa ke meja rundingan antara parti komponen BN, termasuklah isu agihan kerusi yang baginya terlalu berat sebelah kepada Umno.

Malah, katanya, MIC juga perlu berunding dengan kerajaan PN agar suara kaum India lebih didengari dalam kabinet  yang kini hanya dianggotai oleh seorang menteri berketurunan India.

Katanya, MIC lali perlu tegas memperjuangkan nasib orang India, namun tidak harus terburu-buru merangka strategi politik, terutama apabila  parti itu kini berada di persimpangan yang kritikal.

“Dulu ada rangka tindakan (blue print) untuk kaum India. Sekarang tidak ada. Hala tuju orang India macam dipinggirkan. Isu-isu mereka diselesaikan secara adhoc sahaja.

“MIC kena fikir, kena menjadi suara yang lebih lantang dalam memperjuangkan nasib masyarakat India. Kena lebih tegas,” katanya lagi.


Sebaran :


Leave a Reply