Mengaku salah tipu wanita untuk geran filem, ‘pegawai khas’ timbalan menteri dipenjara 8 bulan


Akibat memperdayakan seorang wanita dengan menyamar sebagai pegawai khas timbalan menteri komunikasi dan multimedia untuk meminta wang bagi membantu sebuah syarikat produksi mendapatkan geran filem, seorang penganggur dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zafir Zainuddin, 38, yang mengaku bersalah memperdayakan Noorul Syakillah Ramli dengan mengatakan dia (tertuduh) adalah pegawai khas kepada timbalan menteri komunikasi dan multimedia dan berjanji untuk mendapatkan peruntukan geran filem “Rampas” daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Perbuatan itu mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang tunai RM5,000 kepada tertuduh di sebuah restoran di Presint 9, Putrajaya pada 5.15 petang, 1 April lepas, mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum bawah Seksyen 419 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, Noorul Syakillah yang merupakan pengadu dalam kes ini adalah pemilik sebuah syarikat produksi penerbitan drama dan filem Cinema Stage Production Sdn Bhd yang memohon geran dana filem “Rampas” bernilai RM1.8 juta daripada FINAS.

Noorul Syakillah berhubung dengan Mohd Zafir pada 26 Mac lalu melalui WhatsApp bagi mendapatkan sokongan timbalan menteri komunikasi dan multimedia dalam mendapatkan geran yang dipohon selepas lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai khas kepada timbalan menteri berkenaan.

Pada 31 Mac lalu, Mohd Zafir meminta wang sebanyak 5% daripada jumlah geran RM1.8 juta dan Noorul Syakillah bersetuju membayar 2% daripada jumlah geran itu serta perlu membayar RM5,000 kerana Mohd Zafir mendakwa dia mendapatkan tandatangan sokongan timbalan menteri dan meyakinkan bahawa syarikat tersebut akan mendapat geran.

Noorul Syakillah kemudian membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada 1 April dan tertuduh ditangkap pada hari sama.

Siasatan SPRM mendapati tertuduh bukan pegawai khas timbalan menteri komunikasi dan multimedia berdasarkan semakan dengan kementerian itu serta permohonan geran oleh Cinema Stage Sdn Bhd ditolak oleh FINAS sejak 23 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM Azeem Hafeez Jamaluddin manakala Mohd Zafir tidak diwakili peguam. Bernama

Dakwaan ‘Ditekan SPRM’, MP ‘Melompat’ Elak Komen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker