Kerjasama Pas, PPBM bukan gabungan mengerunkan – Tok Him


KUALA LUMPUR – Kerjasama secara rasmi Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini, bukan gabungan yang mengerunkan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, bagi Pas, Bersatu adalah tali hayat yang membolehkannya menumpang berada dalam kerajaan dan kekalkan jawatan yang dipegang mereka.

“Maklum, baru belajar untuk bermewah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri perjumpaan tertutup dengan kepimpinan Badan Perhubungan Putra Johor di Pejabat Putra Ayer Hitam, yang turut dihadiri Pengerusi Putra Johor, Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Md. Jidi yang juga Ketua Putra Ayer Hitam.

Turut hadir ke perjumpaan itu, Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, beliau berpendapat kerjasama Pas dengan Bersatu tidak sekuat parti itu bersama Muafakat Nasional (MN), kerana parti yang ditubuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak mempunyai akar umbi.

Bersatu juga pada dasarnya mempunyai jumlah ahli yang kecil, tetapi dilihat ramai kerana majoritinya dicuri dari UMNO.

“Kena ingat, ketika PRU14, Bersatu hanya menang 12 kerusi sahaja. Itu pun menang kerana sokongan undi masyarakat Cina dan India dari PKR, DAP dan Amanah ketika bersama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Jika ada sedikit kekuatan pun kerana Bersatu menguasai kerajaan, maka bolehlah agensi dan peruntukan diguna bagi projek untuk habuan para penyokongnya.

“Sebelum ini Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga menguasai kerajaan dan menguna apa saja kemudahan kerajaan, tetapi tidak semua berjaya, malah BN hilang kuasa pada PRU14,” katanya.

Bagi Pas pula, ujarnya, parti itu hanya ada kekuatan dan sokongan di Kelantan, Terengganu dan sedikit di Kedah.

Bagaimanapun, kebelakangan ini sokongan kepada Pas di negeri itu hanya daripada kalangan yang tegar dan kadernya sahaja.

“Dari segi orang ramai terutama pengundi atas pagar dan golongan muda sudah mula merungut serta tidak senang hati dengan Pas atas banyak sebab.

Di Kelantan pula, jelas kelihatan majoriti rakyat amat kecewa dengan pelbagai isu dan pemimpinnya yang cakap tak serupa bikin, menggunakan Islam untuk tujuan politik sahaja,” katanya.

Katanya, Pas juga tidak banyak sokongan di Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Penang dan Sabah.

“Sebab itu Pas tidak menang satu kerusi Parlimen pun, kecuali di Kelantan, Terenganu dan Kedah. Sememangnya ada undi Pas, tapi tidak besar impaknya, terutama dalam suasana politik sekarang.

“Pas juga tidak boleh mengharapkan undi dari Bersatu, apatah lagi di Pantai Timur dan utara, malah di semua negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli Bersatu yang dibeli dari UMNO dan ada yang daftar sekadar untuk mengharapkan bantuan, hanya isi borang ahli sahaja sehingga ada yang menjadi ahli kepada tiga, empat parti politik.

Maka kata Ibrahim, ukuran ahli bukan segala-galanya, tambah lagi naratif baru politik sudah berubah dan rakyat atau pengundi sudah terlalu cerdik.

“Bagi apa pun mereka ambil, tapi undi belum tentu. Ianya perkembangan yang sihat untuk demokrasi dan pembinaan negara bangsa serta ‘nation building’ yang berintegriti dan bermaruah.

Beliau yakin seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar NGO Islam dan Melayu dijemput menyertai PN demi penyatuan ummah dan kepentingan Islam Melayu hanya retorik sahaja.

Kata beliau, Pas sudah kelihatan cemas apabila UMNO menolak daripada menyertai PN, sekali gus memutus hubungan dengan parti Bersatu.

“Ia bukan ancaman perpaduan ummah atau kerana agenda bangsa dan Islam, tetapi bimbang dan khuatir akan kecundang dalam PRU15 nanti.

“Maka, terpaksalah terus beretorik dengan bunyi guruh di langit, tapi hujan tak turun. Ibarat kata pepatah, kita boleh tipu dan bohong pada rakyat dengan pelbagai helah, tetapi kita tidak boleh tipu rakyat sepanjang masa.

“Ketika PH dijatuhkan dan PN mendapat kuasa kononnya kerajaan Melayu Islam kembali berkuasa, namun sudah lebih setahun, mana hasil agenda Melayu dan Islam?,” soal beliau

Jelas ia berterusan dengan menang sorak kampung tergadai dan kononnya DAP telah dihumban, tetapi MCA diangkat darjatnya serta dilayan segala permintaan, ujarnya.

“Bagaimana agenda Melayu Islam? Apa sudah jadi dengan kalimah Allah, RUU355, Sekolah Satu Aliran, Biasiswa dan seribu satu masaalah yang dihadapi oleh umat Melayu dan pribumi.

“Bila angin bertiup kencang, buatlah apa pun pakatan atau gabungan, kebangkitan rakyat tidak boleh dihadang atau disekat, bahkan, rakyat serik dengan pemimpin serta parti hipokrit dan munafik,” katanya.

Menurut Ibrahim, rakyat ketika ini mencari alternatif dan pilihan baru serta menganggap kerjasama Bersatu dan Pas adalah hiasan barang antik yang sudah hilang harga diri.

Begitu juga, kata Ibrahim, calon yang melompat parti sukar untuk menang, sama ada dari UMNO mahupun PKR yang menyertai Bersatu.

“Sudah pasti, gelap masa depan PN dan Pas jika dapat kekal 18 kerusi pun kira bernasib baik,” katanya. MG

Saya nak calonkan Perdana Menteri dari parti Putra – Ibrahim Ali

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker