Kita bukan junta, Tok Mat bidas pindaan boleh guna dana kerajaan tanpa kelulusan Parlimen


Mohamad Hasan membidas pindaan ordinan darurat yang membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri semasa darurat, menyifatkan ia membimbangkan.

Timbalan presiden Umno bertegas darurat tidak boleh mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan.

“Keabsahan tindakan pindaan ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah dalam hal membelanjakan wang rakyat dan hasil negara, tiada keadaan walau serumit atau sesukar mana sekalipun wajar melepaskan kerajaan dari proses penelitian yang ketat.

“Kerajaan kita masih lagi adalah kerajaan awam dan bukannya junta tentera. Maka bertindaklah dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam,” katanya.

Malah, semasa dauratlah kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang, katanya.

“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah.”

Satu ordinan darurat telah diwartakan pada 31 Mac yang menyatakan, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau menteri besar atau ketua menteri, tanpa kelulusan dewan perundangan.

Kebiasaannya, penggunaan Kumpulan Wang Disatukan perlu melepasi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Darurat berakhir pada 1 Ogos, melainkan eksekutif dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa ia perlu dilanjutkan. FMT

Ordinan baru beri kuasa PM guna dana tanpa lalui legislatif

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker