Apa-apa berlaku, Muhyiddin bertanggungjawab penuh kepada undang-undang ini


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap undang-undang darurat terbaru yang dilaksanakannya.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin mengingatkan kerajaan, banyak negara telah muflis kerana penyelewengan kewangan semasa pemerintahan diktator dan keadaan darurat.

“Oleh kerana undang-undang ini dibuat tanpa penyertaan Parlimen, kita harus meminta Muhyiddin, Tengku Zafrul dan Kabinet keseluruhannya untuk bertanggungjawab.

“Mereka yang terlibat dalam proses pelaksanaan undang-undang darurat ini perlu dipertanggungjawabkan sekiranya timbul masalah di masa hadapan nanti.

“Pada zaman data besar dan penyelidikan forensik ini, kepincangan dalam kewangan sukar untuk disembunyikan. Skandal 1MDB adalah contohnya,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang mengulas peraturan darurat terbaru yang diwartakan semalam.

Terdahulu, kerajaan telah mewartakan satu undang-undang baru yang membenarkan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat.

Ordinan baru itu telah menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan. MD

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker