Neelofa ada kebenaran polis ke Langkawi atas urusan kerja-ChaTime Malaysia


SEJAK semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, berada di Langkawi tular di media sosial.

Memandangkan pasangan selebriti itu baru sahaja bernikah Sabtu lalu, maka gambar Neelofa dan suami di pulau pelancongan terkenal itu telah menimbulkan beberapa persepsi.

Ini terutama ‘membawang’ di media sosial mendakwa pasangan itu merentas negeri untuk berbulan madu.

Namun, Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberi kebenaran kepada Neelofa dan tiga yang lain untuk bergerak ke Langkawi atas urusan kerja.

Berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain ke pulau itu adalah atas urusan kerja bersama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April ini.

“Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.

“Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka,” katanya kepada BH Online hari ini.

Basri berkata, berdasarkan jadual pergerakan. lokasi yang akan dituju empat penama terbabit termasuk Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, adalah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.

 

“Mereka dijadual tiba di Langkawi pada 29 Mac dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.

“Justeru, saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Utv

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker