UMNO Perlis ambil pendekatan tidak bermusuh dengan Bersatu – Shahidan Kassim


Walaupun UMNO sudah membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO Perlis menegaskan akan terus ‘berkawan’ dengan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata UMNO negeri itu akan terus bekerjasama dengan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu.

Jelasnya yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), keputusan yang telah dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hanya untuk memutuskan kerjasama apabila PRU15.

Justeru, ujarnya tidak timbul isu memutuskan kerjasama sekarang.



Tidak timbul kerjasama bermusuh
“Sebagai Pengerusi PNBBC, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan kita ada UMNO, Bersatu, PAS, GPS, STAR dan Ahli Parlimen bebas. Semua ini rakan kongsi PN.

“Saya ingin maklumkan bahawa kita akan terus bekerjasama dengan semua parti dalam PN. UMNO ada 42 kerusi, Bersatu 18 kerusi, GPS 18 kerusi, dan lain-lain. Kita akan terus bekerjasama walaupun kita ada orang (parti) baharu menyertai kita,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Malah tambah Shahidan, beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan PN sehingga PRU15.

“Saya akan beri perkhidmatan sebaiknya, apa pun keputusan UMNO, ia masa pilihan raya bukan sekarang.



“Yang jadi polemik besar itu ketika pilihan raya… kita masih berkawan (dengan Bersatu) sehingga UMNO memutuskan kerjasama ini, kita akan perhatikan nanti (bagaimana) kedudukan kita,” jelasnya lagi. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker