Dakwa FB digodam, Anina cabar saman Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli Umno dan anggota pengasas PPBM yang berdepan saman oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob kerana didakwa memfitnahnya di Facebook, berkata akaunnya telah digodam.

Dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan minggu lalu, bekas ketua wanita PPBM Anina Saadudin berkata, akaunnya digodam pada 18 Jan sebelum ‘diselamatkan’ pada 6 Feb, dan orang ramai dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Anina yang tidak diwakili peguam, secara alternatif turut bergantung kepada pembelaan justifikasi, ulasan wajar dan perlindungan bersyarat untuk membatalkan saman difailkan Ismail pada 5 Mac lalu itu.

Katanya, komen terhadap Ismail itu bukan bersifat fitnah malah tiada niat jahat.

Anina berkata, Ismail memegang jawatan awam susulan pertukaran kerajaan pada Mac tahun lalu tanpa melalui pilihan raya.

“Defendan (Anina) sebagai rakyat dan pembayar cukai mempunyai hak untuk menilai prestasi seorang menteri dalam mentadbir negara,” kata dokumen mahkamah yang dilihat FMT.

Menteri, timbalan menteri Umno pegang jawatan hingga Ogos – Zahidi

Anina berkata, beliau kini penyokong Umno dan mempunyai hak serta tanggungjawab untuk memastikan orang awam tidak membenci parti itu.

Menurutnya, komennya itu juga berdasarkan laporan media, seterusnya dianggap wajar.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail berkata Anina menyerangnya dalam kapasiti peribadi sebanyak 13 kali antara 5 Feb hingga 3 Mac.

Ismail yang juga naib presiden Umno mendakwa Anina mempersendakannya dan keterlaluan apabila mengongsikan kenyataan dan video untuk ‘merosakkan’ reputasinya di mata umum.

“Hantaran itu tiada kaitan dengan polisi kerajaan dan tugas plaintif sebagai menteri,” katanya.

Menurutnya, catatan Anina itu, antara lain, memberikan gambaran bahawa Ismail seorang yang lemah dan penakut.

Ismail memohon injunksi untuk memaksa Anina atau sesiapa yang menguruskan akaun Facebooknya supaya membuang 13 kenyataan dan video didakwa fitnah itu.

Beliau turut memohon permohonan maaf dan ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Anina.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril ditetapkan pada 1 Okt.

Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail berkata, injunksi diberikan kepada anak guamnya yang mengarahkan Anina menurunkan semua hantaran berkenaan akan berkuat kuasa sehingga perbicaraan selesai.

 

KJ: Segera adakan pemilihan Umno tahun ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker