Undi18 : Kalau rakyat mentah, pilih kerajaan mentah juga – Abdul Hadi


“Kalau rakyat mentah, pilih kerajaan mentah juga.”

Demikian tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika diminta mengulas mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menangguhkan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan had minimum undi 18 tahun sehingga 1 September 2022.

Abdul Hadi malah berkata, soal kelayakan pengundi mesti bergantung kepada kematangan individu, bukan sekadar memandang pada usia semata-mata.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan Barat yang memandang kepada usia sahaja kerana konsep Islam, sinnu rusydi iaitu tahun kematangan perlu diambil kira.

“Pas bersetuju (dengan penangguhan). Tidak beri kesan apa kerana yang penting kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan matang. Kalau rakyat itu mentah, pilih kerajaan mentah juga,” katanya kepada pemberita seperti disiarkan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, soal had kelayakan mengundi tidak semestinya ditetapkan berdasarkan usia kerana kematangan boleh berlaku sama ada pada 16 atau 18 tahun.

“(Pada usia) 25 tahun pun ada. Orang berusia 40 tahun pun ada tidak matang lagi.

“Malangnya kita berpandukan kepada konsep demokrasi barat iaitu pada umur bukan kematangan. Sebab itu perlu dibuat pertimbangan pada kematangan dan bukan pada umur sahaja,” jelas beliau.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun pada 16 Julai 2019.

Seramai 211 ahli Parlimen menyokong usul tersebut dan tiada yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang. UTv

Undi 18: Pemuda PAS Mahu ON, Presiden Kata Undi Perlu Kematangan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker