Karya seni digital dijual RM287 juta

Washington: Satu karya digital dijual pada acara lelongan anjuran rumah lelong terkemuka Christie’s pada harga AS$69.3 juta (RM287 juta).

Ia dibeli oleh seorang pelabur digital yang hanya dikenali dengan nama Metakovan dan dikatakan berpangkalan di Singapura.

“Saya rasa nilainya akan menjadi satu bilion dolar, tetapi saya tidak tahu bila,” kata Metakovan dalam temu bual menerusi Google Hangouts.

Karya seni digital itu bertajuk Everydays: the First 5,000 Days.

Ia adalah gabungan koleksi 5,000 karya seni dalam bentuk pecahan mozek oleh seniman, Mike Winkelmann yang dikenali dengan nama Beeple.

Antara karya seni tersenarai dalam karya digital itu termasuk gambar Abraham Lincoln memukul bayi Donald Trump, dan arnab raksasa yang memakan anak-anak di taman permainan.

Dalam pada itu, bidaan untuk karya itu mula dibuka pada 25 Februari sebelum meningkat kepada AS$100 (RM414) dalam masa seminit.

Namun, jumlahnya melonjak pada 10 minit terakhir sebelum tempoh bidaan ditutup pada Khamis lalu, apabila meningkat daripada AS$14 juta (RM58 juta) kepada AS$30 juta (RM124 juta).

Dengan hanya beberapa saat sebelum bidaan itu ditutup, Metakovan berjaya menjadi pemilik kepada karya digital berkenaan.

Metakovan melakukan pembayaran pembelian itu menggunakan Ethererum, iaitu mata wang kripto kedua terbesar dunia.

Karya seni itu dijual sebagai token non-fungible (NFT). Ia adalah sijil digital unik yang menyatakan siapa yang memiliki foto, video atau sebarang bentuk media dalam talian lain.

Setiap NFT adalah unik dan menjadikannya tidak dapat ditiru.

NFT menjadi sangat popular tahun ini, dengan karya seni digital yang mahal juga dijual dengan cara sama.

Dalam pada itu, Metakovan yang memberitahu bahawa dia tidak memiliki rumah atau kereta memberitahu bahawa pembelian itu adalah termahal yang pernah dilakukannya.

Sumber: The Straits Times

1.7 juta pelajar miskin digital

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker