Kolestrol : Jangan fitnah santan


JANGAN guna santan segar dalam masakan kerana ia mengandungi kolesterol yang boleh menyebabkan masalah kesihatan’.

Ini antara ayat popular yang sering dikaitkan dengan santan segar membuatkan ramai mempercayainya.

Hinggakan ada sanggup beralih kepada penggunaan santan kotak yang disangka tiada kandungan kolesterol.

Tidak kurang juga ada yang memilih menggunakan susu bagi menggantikan santan segar semata-mata mahu masakan yang dimasak lebih sihat.

Kekeliruan ini sudah lama wujud dan kembali tular baru-baru ini,

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi berkata, sebenarnya santan segar tidak mempunyai kolesterol kerana ia daripada tumbuh-tumbuhan yang hanya mempunyai kandungan lemak.

“Pengambilan makanan berlemak akan diproses menjadi kolesterol di dalam badan. Proses itu (kolesterol) dilakukan oleh pundi hempedu dan hati,” katanya.

Menurutnya, makanan yang mengandungi kolesterol adalah daripada haiwan atau tubuh manusia.

Beliau berkata, terdapat tiga jenis makanan berlemak iaitu lemak tepu, lemak tidak tepu serta lemak trans.

“Lemak adalah sumber tenaga yang diperlukan tubuh sama seperti karbohidrat, protein dan nutrien lain. Pengambilan apa juga jenis tenaga berlebihan (bukan saja santan) boleh menyebabkan masalah obesiti serta tinggi kolesterol.

“Oleh itu, ‘memfitnah’ santan sebagai pilihan makanan tidak berkhasiat adalah tidak wajar.

“Sekiranya makan di restoran, kita perlu peka dengan jenis makanan yang diambil, sama ada ia terdiri daripada kategori berkenaan atau tidak,” katanya.

Dr Malar berkata, makanan yang mengandungi lemak tepu adalah seperti ayam, daging, minyak sapi dan santan.

“Namun, apabila kita mengambil makanan yang mengandungi lemak tepu, hati dan pundi hempedu akan memprosesnya menjadi lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang dikategorikan sebagai kolesterol jahat.

“Selalunya LDL ini menyebabkan serangan jantung, angin ahmar dan penyakit kronik yang lain.

“Walaupun santan tidak mempunyai kolesterol, kandungan kalorinya adalah tinggi. Sebab itu, orang dahulu seperti nelayan dan petani mengambil santan bagi mendapatkan lebihan kalori untuk melakukan kerja berat,” katanya.

Jelasnya, bagi individu yang mengambil makanan tinggi kalori, ia (kalori) akan digunakan sebagai tenaga di dalam badan, sama ada untuk bekerja, bernafas, membina protein, sel seperti hormon, enzim dan sebagainya.

“Sebaliknya, jika terdapat lebihan kalori, ia akan ditukar menjadi lemak yang tersimpan dalam badan.

“Bukan saja santan, lebihan kalori daripada makanan lain seperti nasi dan gula juga akan melalui proses sama,” katanya.

Ditanya sama ada pengambilan santan dalam hidangan adalah sihat atau sebaliknya, Dr S Malar berkata, ia bergantung kepada berapa banyak dan kerap mengambil makanan bersantan.

“Di samping itu, perlu tahu bagaimana mahu membakar kalori berkenaan. Ramai dalam kalangan individu yang aktif bersenam di gimnasium dan atlet, mengambil banyak makanan tinggi protein seperti susu serta telur.

“Ini kerana mereka memerlukan banyak tenaga dan kemudian membakar semula kalori berkenaan untuk membina otot badan,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah, keseimbangan di antara pengambilan kalori dan membakarnya menerusi aktiviti fizikal untuk kesihatan tubuh.

Dr S Malar berpendapat, tidak salah mengambil makanan bersantan asalkan pengambilannya bukan secara berlebihan.

“Ada orang elak mengambil makanan bersantan, tetapi mereka masih makan makanan segera termasuk kentang goreng, keju, sosej dan sebagainya.

“Sebenarnya makanan ini (makanan segera) mengandungi lemak trans iaitu sejenis lemak yang tidak sihat dan juga tinggi kalori.

“Kentang goreng yang dijual di restoran menggunakan minyak lemak trans kerana minyak jenis ini lebih sesuai digunakan berulang kali,” katanya.

Menurutnya, pengamal perubatan turut memberi tip, pilihan minyak yang lebih selamat ialah seperti minyak zaitun dan minyak bunga matahari.

Katanya, lemak tidak tepu sebenarnya adalah pilihan lemak lebih selamat berbanding lemak tepu.

“Lemak tidak tepu terdiri daripada minyak zaitun, kacang badam, kekacang dan ikan.

“Makanan berunsur ini (lemak tidak tepu) sebenarnya lebih sihat daripada segi pilihan lemak yang diambil,” katanya.

Katanya, apabila memasuki usia 40 tahun, seseorang itu perlu berubah ke arah pemakanan sihat iaitu mengira kalori makanan, kategori lemak dan kurangkan penggunaan garam dalam masakan.

Paling penting ialah bersenam. HM

Cara Menurunkan Kolesterol Dalam Darah (Tanpa Makan Ubat)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker