Saman ke atas penjaja di lampu isyarat untuk mendidik, kata polis

KOTA BHARU: Tindakan menyaman penjaja makanan dan minuman ringan di lampu isyarat bertujuan mendidik, bukannya menutup mata pencarian mereka.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, sekiranya polis mahu mengambil tindakan tegas, sudah pasti setiap hari saman akan dikeluarkan kepada penjaja terbabit.

Beliau berkata, polis menerima banyak rungutan dan aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan penjaja yang disifatkan mengganggu perjalanan lalu lintas, oleh itu tindakan perlu diambil.



“Kita juga sudah memberikan notis selama sebulan kepada kumpulan penjaja ini supaya mereka beralih kepada kaedah lain untuk berniaga agar lebih selamat.

“Sebelum ini, sudah ada beberapa kes yang hampir menyebabkan kemalangan antara penjaja ini dengan penunggang motosikal. Bahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi juga pengguna jalan raya,” kata beliau.

Shafien berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas tindakan polis menyaman 22 penjaja yang berniaga di kawasan persimpangan lampu isyarat sekitar daerah ini dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penjaja makanan dan minuman ringan boleh berniaga tetapi bukan di kawasan jalan raya dan pihak berkuasa mempunyai kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan bagi mengambil tindakan terhadap mereka.



“Kita faham dalam suasana wabak Covid-19 dan kekangan ekonomi sekarang, ramai orang mahu mencari pendapatan.

“Bagaimanapun, nasihat saya carilah kaedah yang lebih selamat, khususnya bagi peniaga atau penjaja di atas jalan raya ini. Kita tidak mahu berlaku kemalangan melibatkan mereka dan pengguna jalan raya,” kata beliau.

Difahamkan, kesemua penjaja berusia lingkungan 20-an itu disaman ketika sedang menjaja makanan dan minuman di sekitar Jalan Hamzah, Jalan Kuala Krai dan Jalan Lembah Sireh.

Mereka disaman mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan tindakan boleh diambil bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.



Penjaja yang disaman akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh sebulan dan berdepan denda maksimum RM2,000 sekiranya sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker