Jenayah atasi undang-undang, apakah kemungkinan negara diperintah Mafia?

Kes berprofil tinggi akan dilepaskan, nasib rakyat bawahan tak terbela

Negara bakal berdepan dengan malapetaka, sekiranya kedudukan kes-kes jenayah yang berlaku ketika ini mengatasi undang-undang.

Tidak mustahil jika perkara berkenaan berlaku, hala tuju pemerintah mungkin perlu mengikut telunjuk golongan berkepentingan seperti oganisasi mafia.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, keadaan itu akhirnya akan menyebabkan nasib rakyat yang bergantung kepada kedaulatan undang-undang tidak terpelihara.

“Bahaya jenayah yang berada atas undang-undang, kemungkinan negara diperintah ikut kepentingan mafia, kes berprofil tinggi akan dilepaskan, nasib rakyat bawahan tidak akan terbela.

“Kartel Cina yang kuasai atasan Melayu mendedahkan hakikat di sebalik tabir yang tersembunyi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas artikel bertajuk ‘As IGP Hamid Bador said, the Mafia runs PDRM’ tulisan blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin yang disiarkan Malaysia Today, semalam.

Artikel tersebut mendedahkan, gerakan bawah tanah Cina dan sindiket jenayah mengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM), bahkan memutuskan siapa yang dinaikkan pangkat dan siapa akan dipindahkan.

Sehubungan itu, Ustaz Abdullah Zaik berharap, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terus teguh dengan tekadnya untuk membanteras gejala yang sedang membelenggu PDRM itu.

“Harap IGP dapat teruskan perjuangan dan rakyat akan menyokong usaha membersihkan PDRM dari pengaruh kartel Cina,” katanya lagi.

Ogos tahun lalu, PDRM dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan lebih efektif di seluruh negara.

Abdul Hamid berkata, keanggotaan JSJN di seluruh negara kira-kira 5,000 orang atau hanya lima peratus berbanding anggota dan pegawai di jabatan PDRM lain.

“Sebab itu jika JSJN tidak dibekalkan dengan senjata dan keanggotaan mencukupi serta peruntukan undang-undang yang tegas, tidak mustahil kita akan berdepan dengan masalah seperti di Amerika Latin iaitu mafia atau ‘war lord’ menguasai negara kita,” katanya.

Abdul Hamid kemudian mendedahkan, kewujudan kartel pegawai muda yang didakwa cuba menjatuhkan beliau.

Bersatu akan terkontang-kanting jika hadapi PRU-15 sendiri, PAS tidak akan biarkan

Beliau mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Pada 19 Oktober 2017, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Beliau mendakwa, sistem sembilan dragon itu telah lama diamalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mempunyai kuasa di dalam agensi penguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwanya, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

Susulan dakwaan itu, PDRM mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker