PAU hujung minggu ini diramal ‘berbahang’ namun tetap terkawal
Perhimpunan Agung Umno (PAU) dijangka bakal diwarnai perdebatan hangat mengenai isu hubungan kerjasama parti itu dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat walaupun hangat situasi itu akan berjalan secara terkawal.
Meskipun penentangan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka berlaku, penganalisis turut percaya ia tidak akan berjaya mencapai matlamat untuk mengetepikan bekas timbalan perdana menteri itu.
“PAU tidak aman tetapi masih terkawal. Saya lihat ada kelompok yang cuba melakukan sesuatu untuk mengenakan Ahmad Zahid tetapi tidak semudah yang kita jangka,” kata Awang Azman Awang Pawi.
Kem Zahid – yang turut digelar “kluster mahkamah” – menggesa agar Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang PRU ke-15 namun ada pula pihak dalam parti itu berpendapat sebaliknya.
Mereka – yang dilabel sebagai “kluster kabinet” kerana membabitkan menteri di bawah Muhyiddin Yassin – mahu Umno kekal bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Awang Azman menjelaskan kepada Malaysiakini, sukar untuk kumpulan tersebut menentang Ahmad Zahid di PAU kali ini kerana institusi Umno menyulitkan pencabar meneruskan agenda yang bertentangan dengan keputusan majlis tertinggi (MT) parti itu.
Fokus pada perpaduan parti
Kedua, katanya, Ahmad Zahid masih mempunyai kuasa untuk menentukan calon Umno untuk dipertaruhkan dalam PRU nanti.
“Presiden tidak mampu untuk memberi ganjaran bagi jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana bukan menjadi perdana menteri, namun dia ada kekuatan kerana merupakan orang yang akan tandatangan watikah untuk pencalonan PRU,” katanya.
Justeru Awang Azman percaya dengan ‘kuasa’ yang ada pada seseorang presiden Umno, anggota parti – terutama yang bercita-cita mahu menjadi calon PRU – akan lebih berhati-hati membuat pendirian.
Pada akhirnya, kata Awang Azman, Umno akan tetap bersama dan bersatu hati sehingga PAU melabuhkan tirainya pada 28 Mac nanti.
Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, yang dilihat sebagai penyokong Ahmad Zahid turut menyatakan perpaduan parti merupakan fokus utama PAU k-74 ini.
“Kami akan fokus PRU dan bagaimana nak menyatukan semula kumpulan di dalam Umno ini agar tidak ada perpecahan di antara kami,” katanya.
Dia turut menafikan spekulasi bahawa perhimpunan kali ini akan hangat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia juga sependapat dengan Razlan. Dia menjangkakan PAU kali ini akan berlangsung dengan lebih aman.
“PAU akan aman, tak adalah macam dalam mesyuarat MT, cuma (mungkin) kadang-kadang ada hangat sikit,” katanya yang juga ahli parlimen Padang Besar di Perlis.
Pemerhati politik Ahmad Atory Hussain pula menambah, Umno perlu bersatu padu kerana ia akan menentukan kelangsungan parti itu bagi menghadapi PRU ke-15.
Sama seperti pada 2018, Atory berkata, dalam PRU kelak Umno akan berdepan laluan sukar kerana mereka harus bekerjasama dengan parti lain untuk berjaya.
“Umno tak usahlah ego, parti lain tak usah ego, sama-samalah bekerjasama,” katanya lagi. Mk