Cuba ubah fakta ‘Langkah Sheraton’, DAP tempelak PKR
SHAH ALAM – DAP menempelak Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak mengubah fakta sejarah peristiwa ‘Langkah Sheraton’ semata-mata mahu menjustifikasikan inisiatif berunding dengan kluster mahkamah dalam UMNO bagi membentuk kerajaan.
Lebih menarik, Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong secara terbuka di dalam blognya mendakwa pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan pemimpin UMNO sebenarnya melibatkan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas beliau, kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Anwar pernah dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton seolah-olah memberi peringatan kepada DAP supaya ‘bersyukur’.
“Mungkin pandangan itu bertujuan memberi peringatan kepada pemimpin DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan Ahmad Zahid dan Najib bagi membentuk kerajaan baharu.
“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah,” kata Liew yang dipetik melalui laman blog peribadinya pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa Anwar patut sudah lama dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersetuju membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.
Peristiwa Langkah Sheraton pada 24 Februari tahun lalu membawa kepada keruntuhan kerajaan PH, sekali gus membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditubuhkan pada 1 Mac 2020.
Semalam, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut dilaporkan berasa terkejut dengan kenyataan Nik Nazmi itu yang mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya.
Mengulas lanjut dakwaan Nik Nazmi itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau telah berjumpa dengan Anwar berkali-kali selepas gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan PH itu.
“Saya telah berjumpa dengan Anwar beberapa kali dalam minggu-minggu selepas Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, dan juga dalam bulan-bulan selepas itu, namun tidak ada sekali pun Anwar menceritakan mengenai Langkah Sheraton seperti yang diceritakan oleh Nik Nazmi ini,” jelasnya.
Pada 16 Mac lalu, Anwar membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui ada mengadakan perbincangan awal dengan wakil pemimpin UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan mana-mana pemimpin UMNO yang melanggar dasar ‘No Anwar, No DAP’ wajar dihukum dan dikenakan tindakan disiplin.