Kenapa Annuar Musa panaskan semula isu lantikkan TPM Umno, apa ‘Agenda’ disebaliknya? – Puad Zakarshi

Sebaran :

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zakarshi mempersoalkan langkah bekas setiausaha agung BN yang ‘disingkir’, Annuar Musa.

Ini setelah Umno Bahagian Ketereh pimpinan Annuar dilapor meminta Perdana Menteri Muhyiddin segera melantik seorang timbalan perdana menteri daripada kalangan pemimpin BN.

“Dulu Annuar dan kuncu-kuncunya kata jangan minta jawatan dengan PM. Itu prerogatif dia. Nanti Umno dituduh kemaruk jawatan.

“Sekarang tuntut segera. Sudah tentu Umno akan terpalit dengan hinaan hidung tak mancung, pipì tersorong sorong,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.



Apabila Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri kelapan, dia melakukan langkah di luar kebiasaan, mengemudi pentadbiran tanpa timbalan perdana menteri tetapi melantik empat menteri kanan – Azmin Ali, Ismail Sabri Yaakob, Fadillah Yusof dan Mohd Radzi Md Jidin. Azmin dan Radzi daripada parti pimpinan Muhyiddin, Bersatu.

“Dalam surat Umno Bahagian Ketereh bertarikh 19 Mac 2021 yang viral semalam, Annuar minta perdana menteri lantik segera timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN.

“Siapa dia? Sudah tentu Zahid bukan dalam senarai Annuar.

“Apakah untuk orang tertentu yang bersekongkol dengannya atau untuk dirinya sendiri,” soal Puad.



Surat itu dilaporkan menyatakan pendirian bahagian Umno itu kepada Zahid yang ditandatangani oleh 30 Ahli Jawatankuasa parti bahagian Ketereh.

Sementara itu,  dalam perkembangan sama veteran Umno Shahrir Samad berkata dia ‘seronok’ melihat jawatankuasa bahagian Umno Ketereh menyokong empat cadangan untuk tindakan presiden Umno.

Semalam, Annuar dilapor berkata antara empat perkara itu adalah ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, perkara kedua pihaknya mengesyorkan supaya Barisan Nasional (BN) dan PN segera memulakan rundingan pembahagian kerusi serta berusaha membentuk gabungan yang kuat untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).



Antara ketetapan lain, jelas Annuar termasuk memutuskan untuk memohon perdana menteri segera melantik seorang timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN serta-merta dan menggesa kerajaan terus fokus serta memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, menurut Shahrir dua cadangan yang teratas dalam surat itu boleh dibawa oleh Timbalan Ketua Bahagian Ketereh Md Alwi Che Ahmad yang juga duduk dalam Majlis Tertinggi Umno.

Dua cadangan lain berkaitan perlantikan TPM dan usaha berfokus kerajaan PN, , kata Sharir boleh diwakilkan jawatankuasa bahagian Umno Ketereh kepada Annuar untuk dibawa ke pertimbangan Muhyiddin dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Setiap Rabu, jemaah menteri bermesyuarat pun. Annuar pun hadir.

“Jadi, boleh berpakat je antara ketua dan timbalan ketua bahagian Ketereh.

“Sekarang baru saya tahu punca cerita Umno nak sangat jawatan TPM. Ianya suara akar umbi Ketereh, rupanya,” kata Shahrir pada hantaran di media sosial hari ini.

Dalam pada itu, Puad berkata kalau Muhyiddin jujur “sudah lama jawatan timbalan perdana menteri itu diberi kepada Umno.”

“Maka apa agenda Annuar memanaskan isu tersebut sekarang?

“Umno tidak perlu lagi memikirkannya. Umno seperti tegas presiden perlu meletak ‘titik noktah’ dalam isu jawatan timbalan perdana menteri.

“Di zaman beli-membeli dan mengugut ahli parlimen supaya melompat parti ini, jangan pula Umno turut dituduh mahu menggadai parti semata mata kerana jawatan timbalan perdana menteri.

“Kalau untuk tawar menawar supaya MT Umno membatalkan keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu di PRU ke 15, sila ‘meninggal’ (jangan harap),” kata Puad lagi.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata langkah yang dicadangkan bahagiannya itu untuk mengelakkan kekeliruan di peringkat akar umbi khususnya Umno Ketereh.

“Saya bersuara sebab saya mahu Umno selamat, saya tidak mahu Umno itu menjadi alat kepentingan kumpulan atau pun puak atau individu sebab akhirnya kita semua yang akan menerima akibat kalau terjadi apa-apa dengan parti.

“Saya juga adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli selain merupakan salah seorang yang menaja menghidupkan semula Umno baharu selepas parti itu diharamkan. Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi parti Bersatu,” jelasnya, semalam.

Annuar juga dipetik berkata dia tidak bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka di laman media sosial Facebook miliknya akan mengundang tindakan disiplin, termasuk dipecat Umno.

  • MKini

UMNO Ketereh hantar surat pendirian kepada Presiden parti


Sebaran :

Leave a Reply