Pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan

Sebaran :


KUALA LUMPUR: Jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencecah 6,084,588 setakat semalam.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, jumlah itu meliputi 25.1 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, kadar pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan dengan ketara, apabila hanya mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau 550,474 individu dalam tempoh tujuh hari lalu, daripada 5,534,114 pada 14 Mac, kepada 6,084,588 semalam.

Ia adalah perbezaan ketara berbanding peningkatan pendaftaran lebih 69 peratus atau 2,226,703 antara 7 Mac (3,224,641) hingga 13 Mac (5,451,344).



Ini menimbulkan persoalan mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk semua 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mendaftar sebagai penerima vaksin itu.

Data dikongsi Dr Noor Hisham itu menunjukkan, penduduk di Sabah dan Kelantan adalah yang paling rendah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera.

Sejak pendaftaran dibuka pada 23 Februari lalu, hanya 9.4 peratus atau 274,438 daripada jumlah keseluruhan penduduk Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin, manakala Kelantan mencatatkan 13.1 peratus atau 161,627 penduduk.

Putrajaya pula kekal tertinggi dengan 74.3 peratus atau 42,291 daripada jumlah keseluruhan penduduknya sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, disusuli Kuala Lumpur (36.6 peratus/541,489), Selangor (36.2 peratus/1,752,233) dan Pulau Pinang (31.7 peratus/439,427).



Selain itu, Negeri Sembilan (29.2 peratus/247,803), Labuan (28.3 peratus/20,507), Melaka (27.4 peratus/191,823), Johor (27.3 peratus/775,342), Sarawak (23 peratus/475,788) dan Perak (22 peratus/424,758).

Perlis pula mencatatkan 20.4 peratus (38,425) diikuti Kedah (19.4 peratus/309,921), Pahang (19.2 peratus/236,414) dan Terengganu (18.1 peratus/152,322).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan, bagi mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama program berkenaan, yang menyasar untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hinga April depan.



Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing. BH

Pendaftaran sebagai penerima vaksin bermula Mac


Sebaran :

Leave a Reply