Slogan tolak Anwar, DAP tak bawa Umno ke mana, kata Agus


Penganalisis politik melihat slogan yang digunakan oleh Umno, “No Anwar, No DAP” yang bertujuan menolak kerjasama dua pihak tersebut bukanlah modal politik yang terbaik untuk Umno, kata Prof Mohammad Agus Yusoff.

“Slogan ‘No Anwar No DAP’ tidak membawa Umno ke mana, sebaliknya membuka kerjasama baru dengan PH boleh menguntungkan Umno,” katanya pada “catatan hari minggu” di media sosial.

Nasihat Agus, Umno perlu mengambil sikap pragmatik berdasarkan situasi semasa.

“Menerima Anwar dan DAP bukan bererti membentuk pakatan baharu, tetapi membentuk kerjasama politik.

“Satu lagi ialah slogan ‘No Anwar No DAP’ berkonotasi kebencian dan perkauman yang tentunya bukan modal politik terbaik untuk negara kita.

“Perjuangan politik terbaik bagi negara kita adalah memenuhi keperluan rakyat, mensejahterakan kehidupan mereka dan membina negara bangsa yang bersatu,” katanya lagi.

Agus berpendapat kerjasama BN-Umno dan Pakatan Harapan adalah lebih baik untuk mencapai hasrat Umno pada pilihan raya umum nanti seperti membolehkan Umno bertanding di semua kerusi tradisinya tanpa pertindihan kerusi dengan Bersatu dan PAS.

Untuk rekod, Bersatu, PAS dan Umno kini berada dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional masih belum mencapai kata sepakat berhubung agihan kerusi pada PRU nanti atas isu pertindihan kerusi sesama mereka.

“Umno akan kekal sebagai parti Melayu dominan kerana tidak lagi bersaing dengan dua parti Melayu yang lain dalam PN.

“Umno dengan PAS dan Bersatu sekadar mendapat jawatan kecil, tetapi jika dengan PH, Umno akan mendapat jawatan yang lebih kanan,” kata Agus.

Menyokong kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi dan Pengerusi Jemaah Nasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Agus mentafsirkan bahawa kenyataan mereka membawa maksud supaya parti itu melakukan perubahan sesuai tuntutan zaman.

Pada akhir Disember lalu, Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li memberi bayangan bahawa sikap “No DAP no Anwar” yang dipegang Umno, tidak harus menjadi pendirian muktamad.

Dia juga berpendapat bahawa pendirian tersebut hanyalah sentimen yang tebal.

Puad pula berpendapat slogan tersebut tidak semestinya relevan sepanjang masa kerana senario politik negara berubah-ubah.

Untuk rekod, pada 16 Mac, Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara PKR dengan Umno tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu lima pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk sebagai “kleptokrat.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulangi pendirian parti itu sedia bekerjasama dengan Umno demi kepentingan rakyat seperti menggesa kerajaan PN mengadakan sidang parlimen.

Bagaimanapun, Lim menjelaskan DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya umum akan datang. Mk

Anwar bakal sokong Muhyiddin? PKR Kemungkinan Rakan Baru PN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker