Dah nak masuk April, laptop percuma masih tak nampak bayang
Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithin memperosoalkan pemberian komputer riba yang dijanjikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Shazni turut bertanya beberapa soalan berhubung pemberian komputer riba yang sepatutnya dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Apa dah jadi dengan pemberian 150,000 laptop itu? GLC dan GLIC mana yang terlibat? Waktu bagi harapan pada rakyat itu memang dah lulus atau masih berbincang? Kalau dah lulus, laptopnya mana?
“RM300 untuk beli telefon pintar yang katanya ‘insya-Allah’ akan dapat pada bulan Mei ini, kira dah boleh hapus janji nak bagi laptop ke macam mana?
“Satu lagi, RM2 bilion itu banyak. Apa jaminan dana sebesar ini benar-benar sampai kepada kelompok sasar?” soalnya.
Menerusi perbahasan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program komputer riba percuma itu akan dibiayai oleh GLC dan GLIC dan pihak itu akan menyumbang RM150 juta bagi 150,000 pelajar di 500 sekolah.
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Dengan nada sinis, Shazni turut menyebut semula pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan RM300 untuk pembelian telefon pintar.
“Janji pada bulan Januari nak bagi laptop, sampai dah nak masuk April masih tak nampak bayang.
“Semalam (dua hari lalu)@MuhyiddinYassin janji lagi nak bagi subsidi RM300 untuk beli telefon pintar yang katanya akan dilancarkan bulan Mei pula,” katanya di Twitter.
Pada 17 Mac, Muhyiddin mengumumkan penambahbaikan subsidi pembelian telefon pintar di bawah Program Jaringan Prihatin dengan pemberian RM300 kepada isi rumah yang mempunyai anak bersekolah dalam usaha merapatkan jurang digital golongan B40.
Komputer riba menjadi peranti yang penting untuk setiap isi keluarga di negara ini sewaktu perintah kawalan pergerakan kedua (PKP) pada 13 Januari lalu, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Sepanjang PKP, sekolah ditutup untuk kebanyakan pelajar kerana kelas dijalankan dalam talian tetapi tidak semua pelajar mampu membeli peranti atau data telekomunikasi. Mk
BN beri laptop kepada pelajar percuma tapi PN beri laptop cuma pinjaman? – Syed Saddiq