BN beri laptop kepada pelajar percuma tapi PN beri laptop cuma pinjaman? – Syed Saddiq

Pada Belanjawan 2021 kerajaan berjanji menyediakan 150,000 komputer riba kepada pelajar.

Bagaimanapun, pelajar cuma akan diberikan komputer itu dalam bentuk pinjaman.

Komputer riba tersebut diperoleh melalui dana Inisiatif Cerdik bernilai RM150 juta yang digabungkan bersama oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menyuarakan kekecewaannya dengan mekanisme yang diperincikan di laman web untuk program Cerdik, kendalian Yayasan Hasanah, bawah Khazanah Nasional Berhad milik kerajaan.

“Maksudnya, lepas pelajar dapat laptop, kena pulang semula. Ini sangat pelik caranya. Kenapa tak diberi terus sahaja?

“Kenapa laptop dibuat sama macam buku teks? Ketika perbentangan Belanjawan 2021 di dalam Dewan Rakyat, hal pinjaman ini tak pernah timbul.

“Sekarang, pinjam pula,” katanya pada hantaran di media sosial

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi perbahasan Belanjawan 2021 berkata, program komputer riba percuma itu akan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kata Tengku Zafrul, pihak itu akan menyumbang RM150 juta bagi 150,000 pelajar di 500 sekolah.

Sementara itu, Syed Saddiq menggesa kerajaan menyediakan perincian program pemberian pinjaman komputer riba berkenaan.

“Kalau dah rosak, adakah pelajar dari keluarga susah ini kena ganti semula? Kalau macam tu, bermasalahlah sistem ini.

“Laptop tu kegunaannya panjang, bukan macam buku teks yang digunakan mengikut darjah,” katanya.

Syed Saddiq berkata sekiranya ahli parlimen pembangkang dengan dana terhad dapat memberikan komputer riba percuma kepada pelajar, dia tidak faham mengapa kerajaan tidak dapat berbuat demikian.

Katanya lagi, kerajaan BN sebelum ini pernah menyediakan netbook percuma dengan peruntukan RM450 juta.

Syed Saddiq pada Disember tahun lalu mengumpulkan hampir RM400,000 untuk menyediakan komputer riba kepada keluarga yang memerlukan.

Komputer riba menjadi lebih penting setelah negara berada bawah perintah kawalan pergerakan kedua (PKP) pada 13 Januari.

Sepanjang PKP, sekolah ditutup untuk kebanyakan pelajar kerana kelas dijalankan dalam talian tetapi tidak semua pelajar mampu membeli peranti atau data telekomunikasi.

Beberapa ahli parlimen, termasuk MP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, telah memulakan inisiatif mengumpulkan dana untuk membantu pelajar tersebut.

Tokoh-tokoh terkemuka seperti pendakwah dermawan Ebit Lew dan bekas jaguh badminton kebangsaan Lee Chong Wei juga tampil menyumbang komputer riba dan tablet kepada golongan memerlukan.

Prosedur pemilikan komputer riba, komputer tablet, dan sambungan data melalui Cerdik adalah mirip kepada program Skim Pinjaman Buku Teks.

Program ini menyasarkan pelajar yang tidak mempunyai akses internet untuk pembelajaran secara dalam talian.

Pelajar keluarga B40 layak mendapat pinjaman komputer riba ini. Pelajar berkeperluan khas, daripada komuniti Orang Asli atau dibesarkan oleh ibu bapa tunggal juga layak.

Tetapi syaratnya pendapatan isi rumah mereka tidak boleh melebihi RM4,849 sebulan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker