‘Cinta kami ikhlas, bukan kerana paras rupa’

Sebaran :

Kami mungkin tidak dapat melihat tetapi boleh merasai keikhlasan kasih sayang satu sama lain kerana berkahwin atas dasar cinta, bukan paras rupa,” kata orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Nur Amirah Fatinah Rozaidi.

Amirah, 30, memberi reaksi itu ketika diminta menceritakan kisah di sebalik perkahwinannya dengan Muhammad Fahmi Norhayalim, 32, yang juga OKU penglihatan.

Pasangan itu menarik perhatian warganet selepas jurusolek perkahwinannya, Nur Nadhrah Syuhadat Rahmat, 23, memuat naik video di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Menerusi video itu, Amirah kelihatan anggun dengan persalinan pengantin selepas mereka disatukan pada 28 Februari lalu di kampungnya dekat Marang, Terengganu.



Menurut Amirah, mereka berkahwin selepas empat tahun berkenalan dan hubungan itu direstui kedua belah keluarga.

“Kami berkenalan di pusat panggilan iaitu tempat saya bekerja dan daripada sekadar kawan akhirnya jadi serasi hingga timbul perasaan cinta.

“Sepanjang tempoh itu, kami cuba mengenali hati budi masing-masing dan keserasian mungkin ada kerana kami sama-sama OKU penglihatan.

“Alhamdulillah, hubungan itu kekal dan berakhir dengan perkahwinan pada bulan lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Menurut Amirah, selain status OKU, dia dan suaminya mempunyai persamaan kerana hilang penglihatan akibat glaukoma iaitu penyakit saraf mata progresif.

Amirah tidak dapat melihat ketika berusia 14 tahun, manakala suaminya sewaktu berusia 24 tahun.

“Jujurnya, saya tidak ambil masa lama untuk menerima kekurangan yang ada kerana diuji ketika masih di awal remaja.

“Jadi, saya cepat sesuaikan diri dan keluarga antara yang banyak membantu memberi sokongan untuk teruskan hidup.



“Alhamdulillah, saya dapat berdikari walaupun masih perlu berjalan dengan tongkat dan lebih gembira kerana dipertemukan lelaki yang mempunyai kekurangan sama dengan saya,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kebudayaan Sosial Melayu di Universiti Malaya (UM).

Mengulas mengenai videonya yang tular, Amirah mengakui terkejut tetapi terharu apabila ramai mendoakan kebahagiaannya dan suami.

“Saya tidak tahu video itu dimuat naik di TikTok sehingga ia tular di media sosial.

“Tak sangka perkahwinan saya dapat perhatian hingga sebegitu rupa kerana ikutkan, majlis persandingan saya hanya dihadiri keluarga dan saudara mara terdekat saja.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan walaupun tidak mengenali saya mahupun suami,” katanya.-HM

Glaukoma, pencuri senyap penglihatan


Sebaran :

Leave a Reply