Kerajaan beri RM300 bagi B40 beli telefon pintar atau peranti baru
Kerajaan menambah baik subsidi pembelian telefon pintar di bawah Program Jaringan Prihatin dengan pemberian RM300 kepada isi rumah yang mempunyai anak bersekolah dalam usaha merapatkan jurang digital golongan B40, kata Muhyiddin Yassin.
Perdana menteri berkata peruntukan bagi Program Jaringan Prihatin juga ditingkatkan kepada RM2 bilion dan akan dilancarkan pada Mei ini.
“Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej Internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan,” katanya dalam pengumuman khas mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion yang disiarkan oleh semua platform media hari ini.
Perkara itu merupakan antara 20 inisiatif strategik di bawah Pemerkasa dan terletak di bawah inisiatif ‘Mengurangkan Jurang Digital’.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan subsidi pembelian telefon pintar sebanyak RM180 kepada semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dalam Belanjawan 2021.
Muhyiddin juga berkata rangka kerja MyDigital dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersial sebagai keperluan terpenting, justeru perkhidmatan 5G dijangka beroperasi secara berperingkat mulai penghujung tahun ini.
Katanya kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar akan turut ditingkatkan yang mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperuntukkan RM3.2 bilion untuk tahun ini di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat, bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.
Perdana menteri berkata MCMC juga akan memperkenalkan program MyBaikhati dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif ‘crowdsourcing’ peranti.
“Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti,” katanya.
Bantuan RM500 hanya buat B40 hilang pendapatan dan penerima BPR gaji bawah RM1,000
Tambah baik program eBelia
Sementara itu, perdana menteri turut mengumumkan beberapa berita gembira untuk golongan belia di negara ini, antaranya menambah baik program eBelia dengan meningkatkan nilai kredit daripada RM100 kepada RM150 yang akan memanfaatkan dua juta belia.
Dia berkata langkah itu membabitkan peruntukan berjumlah RM300 juta dan akan dilaksanakan mulai Jun 2021.
Selain itu, Muhyiddin berkata program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PKEB) juga akan diperluaskan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta, sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan RM21 juta bagi tahun ini.
“Seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai,” katanya.
Dia juga mengumumkan peruntukan bagi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah bagi melahirkan 250 usahawan belia bumiputera yang baru, selain memperkenalkan program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 usahawan belia.
Muhyiddin berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro Pemerkasa-Belia dengan kadar serendah tiga peratus bagi anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan hingga RM50,000.