Lompat parti: Sudah masanya golongan muda diberi peluang memimpin

Sebaran :


PENGLIBATAN belia dalam urusan penting negara seperti penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun layak digelar sebagai proses “peremajaan” negara. Menurut Kementerian Pendidikan, jumlah calon SPM sejak 2017 sehingga 2019 sahaja hampir menjangkau 1.3 juta orang.

Peningkatan jumlah pengundi termuda ini seharusnya dilihat serius oleh semua pihak, terutamanya kerajaan dan parti politik itu sendiri melalui kempen dan program khusus bagi mendekati segmen tersebut. Ini kerana golongan ini boleh dikatakan kurang berminat dengan politik Malaysia yang dilihat “kotor” dan budaya lompat parti yang semakin membimbangkan.

Melihat kepada situasi ini, suatu usaha berterusan dan besar-besaran perlu dilakukan bagi memastikan penglibatan pengundi muda dalam pesta politik yang diramal tidak lama lagi dapat dimaksimumkan agar hasrat besar daripada usaha Undi-18 ini dapat dicapai dan membawa suatu lipatan sejarah baharu buat Malaysia. Mengetengahkan wakil muda terutamanya ikon dan selebriti sebagai duta politik serta pemerkasaan belia dalam hal ehwal pendidikan politik juga dilihat dapat memberi kesan awal pandangan belia terutamanya segmen pengundi termuda dalam memerhati landskap politik negara.

Berbicara soal politik untuk segmen pengundi termuda, calon-calon dan ikon politik anak muda mestilah diketengahkan terlebih dahulu agar mereka tidak lagi terikat kepada pilihan warga emas yang sudahpun tidak mampu hadir melaksanakan tanggungjawab hakiki mereka di Parlimen sehingga parlimen terpaksa ditutup sehingga hari ini. Wujud persoalan, bagaimana warga emas mampu menarik perhatian kumpulan termuda untuk turut menyertai pesta politik?



Hari ini kita dihidangkan perebutan kuasa, lompat melompat parti, kes-kes mahkamah dan pelbagai lagi isu yang rata-ratanya melibatkan warga emas berpolitik. Sudah tiba masanya golongan muda diberi peluang untuk memimpin, tidaklah keseluruhan namun peluang untuk mereka terkehadapan yang ditagih. Tiada lagi istilah juara atau jaguh politik sekiranya mereka hanya dilihat unggul di dalam parti sendiri namun tidak dikenali oleh masyarakat terutama kumpulan atas pagar yang pastinya memberi impak besar kepada mana-mana parti politik dalam pilihan raya.

Belia mesti diperkasa bagi memastikan peralihan ini membawa manfaat yang bukan sahaja kepada parti-parti politik bahkan impak besar kepada segmen anak muda sendiri. Perlu diakui, kekurangan anak muda dalam sektor penggubalan dasar negara telah menyebabkan anak muda dan mahasiswa tenggelam dalam agihan kebajikan yang diperuntukkan kerajaan.

Pemerkasaan belia merupakan agenda yang perlu diteliti dengan serius. Perkara ini tidak dicapai dalam setahun dua, sebaliknya memerlukan perancangan yang teliti dengan hala tuju yang tentunya jelas dan menyakinkan orang-orang tua itu sendiri sebelum mereka melepaskan kepada generasi di bawah mereka. Namun realiti hari ini nampaknya masih kabur. Sama ada belia yang bermasalah ataupun generasi tua yang terlalu liat, pemerkasaan belia sebagai barisan hadapan masih boleh dipertikai.

Sering kali ditempikkan, kekuatan para pemuda seharusnya diimbangi dengan kebijaksanaan orang-orang tua. Adakalanya ia membawa rahmah dan keistimewaan bagi kelompok tertentu, tetapi dalam masa yang sama ianya hanya menjadi modal tunggangan percuma mengorbankan para pemuda seakan-akan pemuda ini langsung tidak mampu berfikir apatahlagi maruah pemuda dijadikan benteng menelan serangan-serangan musuh.



Proses ini harus bermula seawal usia mahasiswa lagi. Peringkat ini merupakan fasa terpenting dalam pembentukan disiplin dan tanggungjawab belia itu sendiri. Ketika fasa inilah, kita dilatih dan melatih dalam membentuk suatu semangat kepimpinan yang utuh dalam memastikan suara-suara mahasiswa bukan sahaja didengari oleh pentadbiran universiti, bahkan sehingga kementerian pengajian tinggi dan kementerian yang berkenaan.

Namun, segala-galanya tiba-tiba berubah apabila melibatkan penyertaan mahasiswa dalam politik. Daripada garang bersuara menuntut hak dan kepentingan mereka daripada pentadbiran, terus kuncup menguncup layu diam tanda ketaatan kepada orang atasan. Budaya diam dan hanya berserah membuta tuli ini pastinya merugikan dan meletakkan mahasiswa itu jauh terkebelakang sebaliknya diletakkan di hadapan dalam situasi “suicide mission” dengan pelbagai nama gerakan bagi mengurangkan kesan dan beban langsung terhadap parti.

Insiden demi insiden pengorbanan maruah mahasiswa ini perlu diselesaikan dengan segera. Ia bukan lagi tindakan-tindakan tangan halus yang kononnya tidak berselindung dengan sesiapa, bahkan sudah mampu dibaca dengan jelas dan terang oleh musuh-musuh. Mahasiswa terkongkong bakal membawa kepada pembekuan minda dan semangat, ditambah sikap “dingin” terhadap cadangan dan pandangan anak muda, ianya pakej lengkap yang bakal membawa kerosakan kepada perjuangan yang dibawa. *Parlimen juga ditutup kerana 60% ahlinya yang terdiri daripada warga emas. MG

Hafiz Baba
Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM




Sebaran :

Leave a Reply