Polis cari lelaki dipercayai panah anjing sehingga mati — MYKMU.NET

Polis cari lelaki dipercayai panah anjing sehingga mati



Sebaran :


ALOR SETAR: Polis sedang mencari seorang lelaki yang dipercayai memanah seekor anjing sehingga mati di Seberang Jalan Putra, dekat Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, pengadu yang berada di rumahnya di Taman Dahlia, telah melihat status yang dimuat naik oleh seorang pemilik sebuah akaun Facebook mengenai anjing liar yang mati dibunuh dengan kejam dan dipanah di kawasan berkenaan.



“Berdasarkan rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di situ, seorang lelaki yang menaiki sebuah Proton Waja berada di kawasan itu ketika kejadian.
“Kelihatan imej suspek melakukan aksi panah muncul dalam kamera CCTV dan senjata yang digunakan ialah busar panah dan anak panah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, tujuan pengadu datang buat laporan kerana bersimpati dengan haiwan itu dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit.


Tujuan pengadu datang buat laporan kerana bersimpati dengan haiwan itu dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit. – Foto PDRM



Beliau berkata, pihaknya kemudian merakam percakapan pengadu untuk mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati pasukan penyiasat Jabatan Veterinar serta tiga pembantu penguatkuasa melakukan siasatan dan terdapat CCTV di kedai berhampiran yang menunjukkan
seorang lelaki memegang alat memanah dan memanah anjing liar antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi Khamis lalu,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, suspek dipercayai menggunakan sebuah kereta Proton Waja namun nombor pendaftaran kenderaan itu gagal dikenal pasti.



Beliau berkata, pegawai penyiasat Jabatan Veterinar memaklumkan akan membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Kes kemudian dirujuk ke Jabatan Veterinar untuk siasatan lanjut,” katanya. Awani


Sebaran :


Leave a Reply