Dakwaan Cabul Doktor Pelatih, Siapa Tokoh Aktivis Berkenaan?

Share

Tokoh aktivis terpalit dakwaan cabul doktor pelatih

Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang aktivis terkemuka sebuah NGO pemikir berhubung dakwaan mencabul seorang doktor pelatih pada November tahun lalu.

Sumber polis mengesahkan siasatan masih dijalankan tetapi setakat ini tidak mendedahkan butiran lanjut seksyen digunakan, saksi terlibat dan peringkat semasa siasatan.

“Kes dalam siasatan dan akan lengkapkan siasatan.

“Kes akan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” menurut pegawai itu kepada Malaysiakini secara ringkas.

Berdasarkan laporan polis pengadu pada 17 Februari – kira-kira empat bulan selepas masa kejadian didakwa berlaku – aktivis itu dituduh meraba, mencium, dan memeluk mangsa pada hari pertama dia melapor diri di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Pengadu, yang merupakan lelaki berusia 27 tahun ketika kejadian, mendakwa dia dicabul selepas lelaki itu memeluknya setelah mendengar kisah masalah kewangannya ketika belajar di luar negara.

Bagaimanapun, dakwanya, tidak berapa lama kemudian tokoh itu mula bertindak melebihi batas.

“Dia mula mencium tengkuk dan pipi saya,” menurut laporan itu.

Trauma empat bulan

Sementara itu, pengadu ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia hanya membuat laporan polis selepas empat bulan kerana mengalami trauma yang panjang.

Pengadu, yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia juga bimbang kerjaya perubatannya terganggu susulan pengaruh tokoh NGO itu.

“Pertama sebab saya tak berani. Beliau merupakan orang yang berpengaruh dalam dunia aktivis.

“Kedua saya ambil masa lama untuk hilangkan rasa takut dan trauma. Saya sering salahkan diri, apa yang saya buat salah. Saya tak berani cerita dekat keluarga dan tunang saya. Saya juga takut kalau tersalah langkah,” katanya.

Pengadu juga mendedahkan ada menghantar e-mel kepada lelaki itu pada 12 November – lapan hari selepas kejadian – bagi menuntut permohonan maaf.

Doktor pelatih itu juga berkata dia turut meminta tokoh itu meletakkan jawatan daripada NGO dipimpinnya.

“Saya beranikan diri sebab bila tengok dia mula bagi kenyataan, bercakap macam pembela Islam dan keadilan, saya jadi macam nak muntah meluat.

“Kalau dia pegang kata-kata, dia takkan buat perkara begini,” katanya yang juga anggota NGO itu.

Dianggap ‘progresif’

NGO itu terkenal kerana banyak menyuarakan pendapat yang dianggap “progesif” dalam isu melibatkan Islam. Antara pendirian kontroversi NGO itu apabila mendukung Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Sementara itu, menurut pengadu, aktivis itu pada awalnya bersedia berbuat demikian tetapi ia tidak berlaku seperti dijanjikan.

“Tetapi baru-baru ini dia panggil satu mesyuarat dalaman dengan semua ahli lembaga pengarah dengan berkata dia nak jadi pengarah balik.

“Padahal semua orang dah undi untuk keluarkan dia. Dari empat orang dalam pasukan, seorang dah berhenti, tiga lagi undi dia keluar.

“[….] Dia ada cakap kalau tiada orang nak kerja dengan dia, dia akan tukar semua orang dalam NGO itu. Dia tetap bertegas nak jadi pengarah,” katanya.

“Bila dia nak kembali dengan NGO itu, saya jadi marah. Itu yang saya beranikan diri buat laporan polis juga,” katanya.

Kempen protes keluar NGO

Semakan Malaysiakini mendapati ramai anggota NGO itu sudah mula mengajak orang ramai keluar daripada pertubuhan itu sebagai tanda protes.

Perkara itu disuarakan secara rasmi di media sosial masing-masing.

“Kami telah hilang percaya terhadap kepimpinan beliau atas sebab melanggar prinsip-prinsip NGO sendiri seperti kemuliaan insan, keadilan, dan demokrasi.

“Kami percaya selagi beliau berada, NGO akan terus menjadi wadah jerangkap yang membahayakan. Kami tidak rela usaha murni NGO dicemari oleh perbuatan peribadi beliau yang jelas tidak menggambarkan cita dan hasrat NGO yang sebenar-benarnya.

“Dengan ini, saya… ahli NGO 2014-2019 dan kini ahli biasa, menarik diri daripada NGO ini selagi mana ia dipimpin oleh aktivis berkenaan,” katanya menerusi akaun Facebook.

Sementara itu, aktivis tersebut ketika dihubungi berkata akan mendapatkan nasihat peguam terlebih dahulu bagi menyelesaikan perkara ini.

JAG gesa siasatan dalaman

Sementara itu, NGO hak-hak wanita terkenal Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Kesaksamaan Gender (JAG) mengeluarkan kenyataan menggesa supaya pertubuhan tersebut melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“ […] Tindakan sewajarnya harus diambil untuk memastikan privasi pengadu dan keselamatannya terjamin sepanjang proses siasatan.

“Pihak yang didakwa juga harus digantung sebarang tugas rasmi sehingga proses siasatan tamat. Ini bagi memastikan siasatan berjalan secara adil,” kata kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!