Usaha tarik Ahli Parlimen pembangkang sertai PN petunjuk niat sebenar Muhyiddin, kata Khalid Samad


SHAH ALAM: Tingkah PPBM yang ketika ini dilihat giat mencari sokongan Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk menyertainya memberi persepsi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak berhasrat untuk membubarkan Parlimen sepertimana yang ditegaskan berulang kali sebelum ini, iaitu setelah situasi Covid-19 dalam negara reda.

Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad berkata kepada FMT, sekiranya Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, tidak logik bagi PPBM untuk terus berusaha mencari sokongan memandangkan kedudukan Ahli Parlimen akan terlucut sendiri apabila Parlimen dibubarkan.

“Jika benar beliau (Muhyiddin) mahu bubarkan Parlimen dalam masa beberapa bulan lagi, kenapa susah payah menarik Ahli Parlimen dari blok pembangkang untuk sertai Perikatan Nasional, khususnya PPBM?

“Kenapa hendak tambah majoriti di Dewan Rakyat, seperti yang dikatakan berlaku terhadap Ahli Parlimen Sekijang?

“Perkara (lompat parti) ini tidak akan berlaku begitu sahaja, sama ada dipujuk atau dipaksa. Ini bukan usaha yang sedikit, mungkin ia juga menelan belanja tinggi.

“Kekalkanlah dengan jumlah Ahli Parlimen yang ada, kemudian selepas wabak Covid-19 selesai, bubarkanlah Parlimen,” kata Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Muhyiddin dalam perutusan-perutusan khas sebelum ini berkata, beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen selepas wabak Covid-19 dapat diatasi, untuk membolehkan pilihan raya diadakan sekali gus memberi ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak memerintah.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa Ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang bertindak lompat parti, antaranya Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shian Yoon, yang membuat akuan berkanun menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail turut memaklumkan bahawa beliau cuba dipujuk dua individu termasuk seseorang bergelar “Datuk Seri” supaya memberi sokongan kepada Muhyiddin. Beliau bagaimanapun tegas tidak mahu mengkhianati PKR.

Khalid berkata, beliau percaya usaha menarik lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang itu adalah disebabkan Muhyiddin mahu meneruskan pentadbiran sehingga tempoh penggalnya tamat secara wajib, iaitu pada 2023, sebelum pilihan raya umum ke-15 dilaksanakan.

“Memanglah tarikh pilihan raya ini masih menjadi tanda tanya, tetapi ada andaian yang berasas yang mengatakan pilihan raya umum tidak akan diadakan sebaik sahaja Covid-19 selesai, kerana dia mahu kukuhkan sokongan daripada Ahli Parlimen yang lompat bersamanya, pada dua atau tiga minggu lepas,” kata beliau.

Khalid berkata, tindakan wakil rakyat yang melompat parti ketika ramai pihak menjangkakan Parlimen akan dibubarkan dalam masa beberapa bulan lagi, tidak akan memberi sebarang keuntungan.

Ini kerana, bukan sahaja mereka akan dikritik, tetapi rakyat juga mungkin tidak akan mengundi mereka lagi, tambah Khalid.

“Bagi Ahli-Ahli Parlimen yang masih bersama dengan Pakatan Harapan, saya hendak ingatkan, jika kamu lompat parti dan kemudiannya Parlimen dibubarkan, kamu mahu pergi ke mana? Kamu sendiri akan terkapai-kapai.

“Sudah-sudahlah khianati PH, rakyat juga kutuk, kamu tidak ada lagi tempat dalam masyarakat,” kata beliau. FMT

Haha, Muhyiddin ajak saya sertai PN, baik bubar saja kata Shafie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker