Dua remaja dimasukkan ke hospital selepas disengat obor-obor
LABUAN: Dua remaja lelaki dimasukkan ke hospital selepas dipercayai disengat obor-obor kotak ketika berenang di pantai Sungai Miri yang popular, pagi semalam.
Kedua-dua mangsa sedang berkelah bersama keluarga mereka di pantai yang memiliki pemandangan matahari jatuh sebelum insiden berlaku pada jam 11 pagi.
Mereka segera dikejarkan ke Hospital Labuan untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili, berkata sepasukan anggota daripada Cawangan Perlindungan Sumber dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan dan mengambil sampel.
“Kami menerima laporan mengenai insiden remaja disengat obor-obor dan pasukan kami kini berada di kawasan pantai terbabit untuk menentukan spesies plankton itu.
“Kami berharap obor-obor yang menyerang kedua-dua remaja bukan daripada spesies Portuguese man o’ war yang terkenal kerana sengatan berbisanya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Faizal sehubungan itu menasihati pengunjung pantai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko apabila terlihat obor-obor itu di dalam air.
Profesor Madya Dr B A Venmathi Maran daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata ia mungkin obor-obor kotak.
700 bekas ahli Amanah sertai UMNO Labuan
“Di perairan Sabah, kami menemukan hanya satu spesies iaitu Chironex yamaguchii yang terdapat di semua perairan pantai Sabah tetapi ini adalah maklumat pertama mengenai obor-obor kotak yang diterima dari Labuan setakat yang saya tahu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memberi amaran bahawa pada kebiasaannya, cuaca kering dan panas menyebabkan spesies ini bertambah banyak dari sekarang hingga bulan Jun.
Pada 2019, sekurang-kurangnya enam orang disengat di Sabah, yang menyaksikan seorang daripada mereka maut iaitu kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kota Belud manakala di Pulau Sapi, satu kematian dilaporkan pada 2006.
Saintis UMS itu berkata, perenang dan pengunjung pantai hendaklah berhati-hati dengan obor-obor ini kerana ia berbahaya dan sengatannya boleh membunuh jika tidak diberikan rawatan segera.
“Obor-Obor kotak adalah telus dan sukar dilihat di dalam air, sengatannya boleh mengakibatkan serangan jantung dan pernafasan terhenti selain kesakitan yang tidak tertanggung.
“Oleh itu, terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa perenang tidak menyedari kehadiran haiwan itu sehinggalah mereka disengat,” katanya.
Berikutan kes itu, katanya, populasi obor-obor dijangka lebih tinggi serta menjejaskan perairan Sabah dan Labuan susulan cuaca pada bulan yang akan datang.
“Jika anda disengat, letakkan cuka di tempat luka selama 30 hingga 45 saat untuk menyahaktifkan nematosista yang tidak habis dikeluarkan pada tentakel (obor-obor), jangan gosok.
“Segera dapatkan rawatan perubatan. Lebih baik mengelak kawasan di mana obor-obor diketahui berada. Saya meminta pihak berkuasa untuk meletakkan papan tanda amaran di pantai.
“Lebih baik memakai pakaian pelindung yang menutup seluruh tubuh dan membawa cuka jika anda ke pantai,” katanya.– BERNAMA